Menteri rimas rakan, ahli parti ‘merengek’ minta AP, tender

Walaupun banyak ‘permintaan’, pihaknya meletakkan integriti pada peringkat tertinggi selaras falsafah kewujudan Pakatan Harapan (PH) iaitu memastikan penjawat awam berada di tempat sewajarnya sambil dipandu oleh kepemimpinan politik yang tidak korup.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub rimas dengan pihak tertentu termasuk ahli parti yang meminta pelbagai kemudahan termasuk permit import (AP) dan tender kementerian.

Beliau berkata, walaupun banyak ‘permintaan’, pihaknya meletakkan integriti pada peringkat tertinggi selaras falsafah kewujudan Pakatan Harapan (PH) iaitu memastikan penjawat awam berada di tempat sewajarnya sambil dipandu oleh kepemimpinan politik yang tidak korup.

Berita Harian online melaporkan, justeru, katanya, pihaknya akan melihat prosedur terbaik bagi memastikan semua AP dan tender yang dikeluarkan menepati ciri indeks integriti, sekali gus menjadikan kementeriannya contoh dalam soal ketelusan.

“Saya cukup rimas dengan kawan-kawan dan ahli parti yang datang meminta AP, meminta itu dan ini… tender dalam kementerian. Itu ‘direngekkan’ ke telinga menteri,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan kementerian di sini hari ini.

Bercakap pada pada sidang media selepas itu, Salahuddin berkata, amalan terdahulu yang ingin dihapuskan kementerian adalah ‘rent-seeker’ iaitu pihak yang tidak memiliki kilang dan industri tetapi mendapat AP.

“Kementerian mahu memberikan kemudahan seumpama itu kepada mereka yang terbabit dalam industri.

“Itu yang kita akan buat. Saya dan timbalan menteri (Sim Tze Tzin), kita juga ada ahli parti dan penyokong. Kalau kita kena layan seperti ini, tiada beza kita dengan kerajaan dahulu.

“Rakyat mahu melihat perubahan ini sebab itu kita akan pergi ke satu proses yang kita boleh beritahu rakyat tentang proses itu,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini semua proses permohonan AP secara dalam talian dan ini bermakna ia terbuka kepada sesiapa sahaja yang layak tambahan pula permohonan akan disiasat jawatankuasa teknikal.

“Ini kita buat dengan lebih telus supaya tidak berlaku ketirisan pada masa akan datang. Kita berusaha sebaik-baiknya,” katanya.

Mengenai syarikat yang akan meneruskan matlamat National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) sebelum ini, Salahuddin berkata, jika syarikat itu boleh memenuhi terma dan syarat ditetapkan, tiada masalah bagi kementerian untuk menjadi pemudahcara.

“Hanya satu syarikat yang tampil dan ia syarikat tempatan. Saya rasa selepas diselesaikan semua pinjaman Kementerian Kewangan, kita harus melihat terma rujukan agar semuanya kembali ke landasan dan kementerian akan membantu mereka,” katanya.