Ribuan rakyat beri penghormatan kepada Almarhum Sultan Ahmad Shah

Suasana sayu menyelubungi balairung Seri Istana Abu Bakar yang menempatkan jenazah baginda.

Suasana sayu dan sedih menyelubungi pekarangan Istana Abu Bakar di Pekan dengan ribuan masyarakat terdiri daripada pelbagai kaum dari seluruh negara hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Mereka tiba seawal jam 6 pagi untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Sultan Pahang ke-5 yang mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 8.50 pagi semalam.

Malaysiakini yang memetik Bernama melaporkan, suasana sayu menyelubungi balairung Seri Istana Abu Bakar yang menempatkan jenazah baginda. Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tiba di Istana Abu Bakar Pekan pada jam 11.05 pagi untuk penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Ahmad Shah.

Sejak jam 10 malam semalam orang ramai diberi peluang menziarah dan memberikan penghormatan terakhir kepada Sultan Ahmad Shah.

Selepas jam 11 pagi, orang kenamaan terdiri daripada Raja-Raja Melayu dan kerabat diraja akan memberikan penghormatan.

Jenazah dijangka disembahyangkan di balairung Seri Istana Abu Bakar sebelum dibawa ke Makam Diraja Pekan selepas solat Zohor.

Sejak malam semalam, suasana sayu dan suram menyelubungi Istana Abu Bakar apabila jenazah Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dibawa masuk ke persada yang terletak di tengah-tengah Balairung Seri.

Jenazah Almarhum dibawa masuk pada 9.20 malam oleh pasukan Anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan diikuti 18 jejawat.

Turut berada di Balairung Seri ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, anakanda Almarhum, Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman dan Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Abdul Fahd Mu’adzam Shah serta bonda baginda Sultanah Kalsom. 

Kira-kira 200 orang terdiri daripada kaum kerabat, orang kenamaan dan pembesar negeri Pahang kemudiannya menunaikan solat jenazah yang diimamkan Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman di Balairung Seri.

Rakyat jelata mula kelihatan memasuki Balairung Seri bemula pukul 10.30 malam tadi, untuk menziarahi dan memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Ahmad Shah yang merupakan Sultan Pahang kelima.

Mereka yang datang secara berkumpulan dilihat mengambil giliran untuk masuk ke dalam Balairung Seri dan rakyat beragama Islam melakukan solat jenazah dalam kumpulan kecil dan berdoa.

Ayat suci Al-Quran dibacakan oleh kira-kira 100 pelajar tahfiz dari sekitar Kuantan dan Pekan.

Almarhum Sultan Ahmad Shah mangkat pada usia 88 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur pada 8.50 pagi semalam. 

Jenazah Almarhum tiba di Pangkalan Udara Kuantan pada 7.25 petang semalam dengan menaiki pesawat khas sebelum dibawa ke Istana Abu Bakar dengan diiringi oleh tujuh buah motosikal PDRM.

Tunku Azizah turut mengiringi perjalanan jenazah dari Istana Negara ke Istana Abu Bakar.