Bayaran BSH 2019 mulai 28 Mei

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, bayaran itu dibuat berdasarkan kategori BSH 2019 merangkumi bilangan anak tanggungan dan nilai yang akan diterima.

Fasa kedua bayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 akan dilaksanakan mulai 28 Mei ini membabitkan hampir 3.6 juta penerima dengan anggaran peruntukan RM1.42 bilion.

Harian Metro melaporkan, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, bayaran itu dibuat berdasarkan kategori BSH 2019 merangkumi bilangan anak tanggungan dan nilai yang akan diterima.

Beliau berkata, kadar BSH yang akan diterima mengambil kira 3.23 juta anak penerima BSH berusia 18 tahun ke bawah kecuali anak orang kelainan upaya (OKU) yang tidak dihadkan usia mereka.

“Pembayaran dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing.

“Bagi mereka yang tiada akaun bank, pembukaan akaun bank pemohon secara automatik akan dilakukan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) berdasarkan persetujuan dan akuan pemohon yang terdapat pada borang permohonan BSH 2019.

“Kementerian Kewangan ingin menegaskan bahawa BSH diberi kepada mereka yang layak mengikut kategori pendapatan ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, setiap tahun, Kementerian Kewangan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan membuat semakan permohonan BSH termasuk maklumat penerima sedia ada bagi memastikan maklumat yang dikemukakan pemohon tepat dan hanya yang layak saja menerima BSH.

Guan Eng berkata, pelaksanaan proses pengesahan dibuat secara menyeluruh terutama dalam mengenal pasti pendapatan terkini pemohon dengan membuat semakan data bersama pelbagai agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), LHDN, Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan agensi berkaitan.

“Proses ini adalah proses biasa yang dijalankan LHDN setiap tahun.

“Bagi memastikan program BSH 2019 disasarkan kepada mereka yang layak, tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai 1 Julai hingga 15 Ogos 2019,” katanya.

Katanya, dengan adanya proses rayuan itu sebahagian daripada yang tidak layak masih diberi ruang untuk mengemukakan rayuan berserta dokumen berkaitan untuk disahkan semula oleh LHDN.

Sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2747 serta e-mel kepada bsh@treasury.gov.my.