Penyeludup ketum maut kereta terbabas

Ketua Polis Daerah Jeli Deputi Superintendan, Ahmad Arifin berkata dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 pagi itu, mangsa yang berusia 23 tahun maut di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala dan badan.

JELI – Seorang pemuda yang disyaki penyeludup daun ketum maut selepas kereta yang dinaiki terbabas di Kampung Gemang semalam.

Sinar Harian melaporkan, Ketua Polis Daerah Jeli Deputi Superintendan, Ahmad Arifin berkata dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 pagi itu, mangsa yang berusia 23 tahun maut di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala dan badan.

Sebelum kejadian, beliau berkata kereta dipandu mangsa yang dinaiki seorang rakannya berusia 35 tahun dikatakan bertembung dengan anggota polis yang meronda di sekitar Kampung Salor, Batu Melintang sebelum pemandu memecut kereta dipandu untuk melarikan diri.

“Bagaimanapun ketika tiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu mangsa dari arah Jeli ke Tanah Merah dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan merempuh pokok serta stor simpanan buah-buahan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahmad berkata mangsa maut di tempat kejadian manakala rakannya yang cedera parah dihantar ke Hospital Jeli untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata pemeriksaan terhadap kenderaan dinaiki suspek menemui 1,150 bungkus kecil daun ketum seberat 250 kilogram di bahagian penumpang belakang dan but kereta tersebut.

Katanya kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – Bernama