Piagam Umno, Pas bakal lebar kerjasama

Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man tidak menolak kemungkinan piagam yang berbentuk 'Muafakat Perpaduan Ummah' itu membawa objektif ke arah kerjasama dalam berdepan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti.

Pas melihat piagam yang akan dideklarasi bersama dengan Umno tidak lama lagi bakal melebarkan lagi hubungan kerjasama antara kedua-dua parti itu.

Malaysiakini melaporkan, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man tidak menolak kemungkinan piagam yang berbentuk ‘Muafakat Perpaduan Ummah’ itu membawa objektif ke arah kerjasama dalam berdepan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti.

“Piagam itu kita dah tengok, Umno pun dah tengok tetapi dua-dua pihak kena bahas (bincang) dan bersetuju baru akan jadi piagam bersama.

“Ia (berbentuk) Muafakat Perpaduan Ummah. Mungkin (kerjasama PRU15), kita tengoklah nanti,” katanya ketika ditanya berhubung pembentukan piagam bersama tersebut.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan ceramah Tausiah Badar Kubra sempena Ijtimak Pondok Semalaysia 2019 di Kota Bharu, semalam.

Terdahulu, perkara itu diumumkan oleh Setiausaha Agung Umno Annuar Musa yang menyatakan kedua-dua parti itu akan mengisytiharkan piagam bersama selepas perayaan Aidil Fitri, Jun depan. 

Sementara itu Tuan Ibrahim berkata, piagam tersebut akan lebih melebarkan bentuk kerjasama sudah berjalan hari ini.

“Seperti kita sebut muafakat kita pada waktu itu (sekarang) ada tiga perkara, pertama mana-mana pilihan raya kecil kita akan satu lawan satu.

“Kedua mana-mana isu melibatkan umat Islam kita kena muafakat dan pertahankan bersama dan ketiga adalah menyusun tindakan bersama di peringkat parlimen. 

“Jadi, deklarasi (piagam) ini akan lebih lebar daripada itu, Insya-Allah,” katanya yang juga anggota parlimen Kubang Kerian.