Tiga beranak, tiga polis ditahan terbabit sindiket pemerdagangan manusia

Kejayaan itu susulan penahanan tiga dalang utama warga tempatan terdiri daripada sepasang suami isteri dan seorang anak mereka dalam satu operasi selama empat hari yang bermula Isnin lalu.

Jabatan Imigresen Perak berjaya melumpuhkan satu sindiket pemerdagangan manusia melibatkan penyeludupan migran warga India ke negara Eropah yang aktif sejak 10 tahun lalu, kata Pengarahnya Kamalludin Ismail.

Malaysiakini yang memetik Bernama melaporkan, beliau berkata kejayaan itu susulan penahanan tiga dalang utama warga tempatan terdiri daripada sepasang suami isteri dan seorang anak mereka dalam satu operasi selama empat hari yang bermula Isnin lalu.

Selain itu, katanya tiga anggota polis terdiri daripada seorang sarjan dan dua konstabel berumur antara 22 dan 57 tahun turut ditahan bersama 45 lagi migran India dalam operasi itu.

“Modus operandi mereka adalah sindiket akan berhubung dengan pasangan suami isteri itu kemudian mereka akan mencari orang awam atau penjawat awam untuk membawa pendatang tanpa izin keluar melalui sempadan Thailand sebelum ke negara Eropah.

“Peranan anggota polis berkenaan pula adalah seorang bertindak sebagai pengatur manakala dua lagi sebagai ejen pengangkut,” katanya dalam satu sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di Ipoh, lewat malam tadi.

Mengulas lanjut Kamalludin berkata berdasarkan siasatan awal, seorang migran dikenakan bayaran sehingga RM5,000 untuk diseludup ke Thailand sebelum ke Eropah.

Katanya pihak Imigresen merampas wang tunai kira-kira RM13,750, beberapa buah telefon bimbit, dua motosikal serta tiga kereta dalam operasi itu dan semua yang ditahan disiasat di bawah beberapa Akta Imigresen termasuk Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Menurut Kamalluddin operasi itu dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia serta Agensi Kawalan Sempadan Malaysia.

– Bernama