Video penguatkuasa MBI tembak anjiing liar tular

Kejadian dipercayai berlaku semasa operasi melupuskan anjing liar di sebuah kawasan perumahan di Pengkalan Gate dekat sini kira-kira pukul 10 pagi pada Rabu lalu.

IPOH – Satu rakaman video menunjukkan tindakan anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menembak mati seekor anjing liar di kawasan terbuka mendapat reaksi pelbagai daripada warga maya.

Kosmo melaporkan, Kejadian dipercayai berlaku semasa operasi melupuskan anjing liar di sebuah kawasan perumahan di Pengkalan Gate dekat sini kira-kira pukul 10 pagi pada Rabu lalu.

Ia menunjukkan dua anggota daripada Unit Kawalan Anjing Penguatkuasa MBI termasuk seorang yang bersenjatakan senapang patah berdiri di sisi seekor anjing yang terbaring akibat cedera ditembak sebelum ditembak kali kedua.

Ramai dalam kalangan warga maya mempertikaikan tindakan MBI ini yang sepatutnya menggunakan kaedah lebih berperikemanusiaan seperti menggunakan tembakan ubat pelali.

Sebelum ini, rakaman video berdurasi satu minit 39 saat itu tular di media sosial sejak dua hari lalu.

Menerusi video itu juga kedengaran suara beberapa orang penduduk yang memohon simpati agar haiwan berkenaan tidak ditembak secara kejam.

Sementara itu, MBI dalam satu kenyataan menegaskan, operasi memusnahkan anjing liar itu dilakukan mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.

Menurut kenyataan itu, operasi berkenaan susulan daripada aduan berulang orang awam berkaitan anjing liar di sebuah kawasan perumahan di Pengkalan Gate.

Katanya, penguatkuasa MBI telah dibawa oleh wakil penduduk kawasan tersebut bagi mengatasi aduan berkaitan anjing liar yang telah menyerang kambing ternakan dan seorang pegawai kanan tentera.

“Dalam operasi itu, seekor anjing liar telah dimusnahkan oleh penguatkuasa MBI di kawasan berkenaan bagi menyelesaikan aduan tersebut.

“Kaedah pemusnahan yang digunakan adalah mengikut prosedur ditetapkan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing (MPI) 1987,” ujar kenyataan tersebut.