Buang bayi baru lahir dalam tong sampah

Bayi yang masih bertali pusat ditemui berbalut tuala oleh seorang pengawal keselamatan tapak pembinaan berhampiran kedai serbaneka berkenaan, kira-kira jam 6 pagi.

AMPANG JAYA: Seorang bayi yang baharu dilahirkan ditemui dalam tong sampah di hadapan sebuah kedai serbaneka di Pandan Indah di sini, awal pagi tadi.

Berita Harian melaporkan, Bayi yang masih bertali pusat ditemui berbalut tuala oleh seorang pengawal keselamatan tapak pembinaan berhampiran kedai serbaneka berkenaan, kira-kira jam 6 pagi.

Pengawal keselamatan itu yang melihat anjing menyalak berhampiran tong berkenaan, menghampirinya sebelum terdengar tangisan bayi dari dalam tong sampah.

Dia kemudian memaklumkan penemuan bayi itu kepada polis. Bayi itu dihantar ke hospital untuk pemeriksaan.

Sementara itu, pekerja kedai serbaneka, Siti Norain Mohd Alias, 34, berkata dia dimaklumkan mengenai penemuan bayi itu oleh pengawal keselamatan berkenaan selepas tiba untuk membuka kedai pagi tadi.

“Pada mulanya, dia mendengar bunyi salakan anjing berhampiran tong sampah di hadapan kedai ini, dan apabila dia menghampiri kemudian dia terdengar tangisan bayi.

“Apabila dia membuka tong sampah dia melihat ada bayi dan terus memaklumkan penemuan itu kepada polis,” katanya.

Siti Norain berkata, bayi itu kemudian dibawa ke hospital oleh pasukan perubatan manakala pengawal keselamatan itu pergi ke balai polis berhampiran untuk memberi keterangan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Mohd Zaid Hassan, berkata siasatan sedang dijalankan bagi mengesan individu yang membuang bayi berkenaan.