Lebih 300 warga Pakistan akan dihantar pulang

    Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, program tersebut merupakan inisiatif kerajaan Pakistan untuk mempercepatkan serta menanggung semua proses penghantaran pulang rakyat mereka yang tidak mampu membeli tiket sendiri.

    KUALA LUMPUR – Kira-kira 300 orang warga Pakistan yang ditahan di Depot Tahanan Imigresen di seluruh negara akan dihantar pulang oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan kerjasama Pesuruhjaya Tinggi Pakistan bermula 29 Mei depan.

    Menurut laporan Kosmo Online, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, program tersebut merupakan inisiatif kerajaan Pakistan untuk mempercepatkan serta menanggung semua proses penghantaran pulang rakyat mereka yang tidak mampu membeli tiket sendiri.

    Tambah Khairul, kesemua warga Pakistan terbabit akan dihantar dengan penerbangan yang disewa khas oleh kerajaan negara tersebut.

    “Bahagian Depot dan Tahanan Imigresen akan menyelia semua proses penghantaran pulang dan pergerakan semua tahanan dari depot ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

    “JIM dan Suruhanjaya Tinggi Pakistan akan sentiasa bekerjasama dan menambah baik segala urusan melibatkan hal ehwal Imigresen kedua-kedua negara,” ujarnya dalam kenyataan media tersebut di sini hari ini.