Pengguna di Taiping Barat berdepan gangguan air dua hari

Pengurus Besar Lembaga Air Perak (LAP), Datuk Mohd. Yusof Mohd. Isa berkata, kejadian yang berlaku ketika hujan lebat itu mengakibatkan paip yang menyalurkan air mentah dari loji tersebut patah dan gagal berfungsi.

IPOH – Kira-kira 2,300 akaun pengguna di Wilayah Taiping Barat kini berhadapan dengan masalah bekalan air selama dua hari ekoran kejadian tanah runtuh berhampiran Loji Rawatan Air (LRA) Trong, Taiping semalam.

Pengurus Besar Lembaga Air Perak (LAP), Datuk Mohd. Yusof Mohd. Isa berkata, kejadian yang berlaku ketika hujan lebat itu mengakibatkan paip yang menyalurkan air mentah dari loji tersebut patah dan gagal berfungsi.  

“Antara kawasan yang terjejas adalah seluruh kawasan Trong, Changkat Jering, Bukit Gantang, Bukit  Berapit, Changkat Ibol dan kawasan berhampirannya. 

“Pihak LAP telah mengambil langkah sewajarnya bagi membaik pulih kerosakan selain melakukan pengezonan semula dengan membekalkan air dari LRA Air Terjun kepada pengguna,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi. 

Tambah Mohd. Yusof, langkah pembekalan dari LRA Air Terjun itu membolehkan pekan Trong kembali menerima bekalan air seperti biasa. 

“Bagaimanapun, masih terdapat kira-kira 2,300 akaun pengguna yang mengalami gangguan bekalan melibatkan penduduk di kawasan Changkat Ibol, Bukit Gantang, Kampung Kubu dan Kampung Pauh. 

“LAP menjangkakan bekalan air ke kawasan tersebut akan kembali pulih dalam tempoh dua hari lagi,” katanya. 

Katanya, LAP akan menyalurkan bekalan air bersih kepada penduduk terjejas dengan menggunakan lori-lori tangki sehingga keadaan kembali pulih. – K! ONLINE