Pas cadang perkenal subjek kenali Islam kepada pelajar bukan Islam

Dengan adanya subjek mengenali Islam, pelajar SJK dapat lebih memahami ajaran agama persekutuan itu serta amalan masyarakat Islam di negara ini. - Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Mohd Khairuddin Aman Razali

PAS menyambut baik keputusan Kementerian Pendidikan dalam menolak cadangan Majlis Belia Malaysia (MBM) supaya diperkenalkan subjek khusus bagi mengenali agama lain, selain agama Islam di sekolah dan pusat pengajian tinggi (IPT).

Malaysiakini melaporkan, Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Mohd Khairuddin Aman Razali berkata cadangan tersebut bukan sahaja tidak sesuai bahkan tidak patut dilaksanakan.

Menurut Khairuddin, lebih baik sekiranya kerajaan memperkenalkan subjek mengenali agama Islam kepada murid bukan Islam, di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) peringkat rendah dan menengah.

Katanya, dengan adanya subjek mengenali Islam, pelajar SJK dapat lebih memahami ajaran agama persekutuan itu serta amalan masyarakat Islam di negara ini.

“Saya percaya, subjek ini lebih berkesan untuk mengukuhkan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini yang telah meletakkan Islam sebagai agama persekutuan.

“Ini kerana Islam adalah agama yang mempromosikan kedamaian untuk manusia sejagat. Sejarah juga memperlihatkan manusia sekalipun berlainan agama, bebas mengamalkan ajaran agama masing-masing dalam negara Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Kuala Nerus berkata demikian mengulas cadangan MBM agar kerajaan memperkenalkan mata pelajaran khusus bagi mengenali agama lain selain Islam di peringkat sekolah dan universiti.

Presiden MBM, Jufitri Joha yang juga Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sebelum ini dilaporkan berkata, mata pelajaran agama Islam yang diajar di sekolah pada masa kini hanya memberi fokus kepada satu agama tanpa memahami agama lain.

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, fokus sepatutnya diberikan bagi memperkasakan kefahaman dan penghayatan beragama dalam kalangan pelajar beragama Islam.

“Ia termasuk dengan menyemak semula dan menambah baik silibus sedia ada, meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran, menambah masa, menjadikannya sebagai subjek teras dan menambah peruntukan kepada sekolah-sekolah agama.

“Pengajaran dan pembelajaran subjek agama Islam ini hendaklah bukan semata-mata bermotifkan untuk mendapat markah yang tinggi, tetapi mestilah ke arah membentuk pemikiran, kerohanian dan tingkah laku pelajar yang selari dengan tuntutan Islam itu sendiri,” katanya.