PKR tak calonkan ahli untuk anugerah kebesaran

Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung, berkata sejak kebelakangan ini parti itu menerima surat daripada beberapa istana negeri yang meminta mereka mengesyorkan nama bagi menerima darjah kebesaran atas kapasiti parti politik.

PKR semalam memutuskan parti terbabit tidak akan mencalonkan sebarang nama untuk menerima pingat, bintang atau darjah kebesaran.

Menurut laporan Malaysiakini, Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung, berkata sejak kebelakangan ini parti itu menerima surat daripada beberapa istana negeri yang meminta mereka mengesyorkan nama bagi menerima darjah kebesaran atas kapasiti parti politik.

“Namun, mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR semalam memutuskan, kami tidak akan mengesyorkan sesiapa untuk menerima darjah kebesaran dan ia dibuat atas prinsip reformasi,” kata Lee ketika dihubungi oleh Malaysiakini hari ini.

Menurut beliau, kali pertama PKR menerima surat sedemikian – daripada sebuah istana negeri – ialah selepas parti itu dan gabungan PH mengambil alih kerajaan pusat pada Mei tahun lalu.

Dalam mesyuarat semalam, kata Lee, Presiden PKR Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa pertubuhan terbabit ialah sebuah parti reformasi.

Justeru katanya PKR tidak akan mengesyorkan sebarang nama sebagai penerima darjah kebesaran.

“PKR juga diingatkan bahawa anggota parti menyertai politik bukan atas sebab mengejar kemasyhuran,” katanya. 

Lihat situasi negeri

Menurut Lee, seluruh anggota MPP PKR sudah dimaklum dengan keputusan tersebut.

Bagaimanapun kata Lee pendirian berkenaan adalah ketetapan parti dan terserah jika ada mana-mana wakil rakyat atau individu mahu menerima pingat yang dikurniakan pihak istana.

“Kalau ada sultan yang menganugerahkan darjah kebesaran kepada wakil rakyat kami, terpulang kepada mereka sendiri sama ada mahu terima atau tidak.

“Kita kena lihat pada situasi negeri masing-masing,” katanya.

Apabila ditanya bagaimana jika parti komponen PH ingin mengesyorkan anggota PKR sebagai penerima darjah, Lee berkata perkara itu tidak dibincang dalam mesyuarat tersebut.

Untuk rekod, daripada empat parti dalam PH, hanya DAP mengeluarkan arahan jelas bahawa anggota mereka hanya boleh menerima darjah kebesaran setelah bersara.

Namun, PKR dipercayai parti pertama membuat pendirian tidak mengesyorkan sebarang nama sebagai penerima darjah kebesaran.

Pada Okt tahun lalu pula Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata pemimpin parti itu perlu mengutamakan khidmat kepada rakyat berbanding mengejar pingat dan darjah kebesaran.

Kata Lim mereka tidak wajar meniru perlakuan pemimpin BN sebelum ini.