Majlis berbuka puasa ala pesta bukan anjuran AMK

Naib Ketua AMK Syed Badli Syah Syed Osman berkata program berkenaan dianjurkan Timbalan Ketua AMK, Hilman Idham dengan menggunakan nama AMK tanpa perbincangan dengan pimpinan.

Pemuda PKR (AMK) menegaskan program Ramadan ‘ala pesta’ yang menerima teguran presiden parti, Anwar Ibrahim baru-baru ini sebenarnya bukan anjuran sayap parti itu.

Malaysiakini melaporkan, Naib Ketua AMK Syed Badli Syah Syed Osman berkata program berkenaan dianjurkan Timbalan Ketua AMK, Hilman Idham dengan menggunakan nama AMK tanpa perbincangan dengan pimpinan.

“Saya berasa sedikit lega kerana setelah melakukan semakan dengan Majlis Pimpinan AMK dan semua ketua-ketua AMK negeri, maka program yang dimaksudkan melampaui adab tersebut bukanlah anjuran AMK.

“Sebaliknya program tersebut dianjurkan oleh Timbalan Ketua AMK Hilman Idham dengan menggunakan nama AMK tanpa perbincangan sesama pimpinan mahupun mendapatkan persetujuan di dalam mesyuarat.

“Saya menyambut baik kesediaan Hilman untuk bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kekhilafan program tersebut dan saya menyeru semua pihak untuk bertenang dan berhenti berbalah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin Anwar memohon maaf berhubung program berbuka puasa anjuran Pemuda PKR yang bersifat pesta.

“Kita terima sedikit bantahan dan kekesalan satu program dianjurkan oleh Pemuda PKR menyambut Ramadan iftar malam tadi dengan acara pesta-pestaan, lagu dan bunga api.

“Saya minta maaf ke atas keterlanjuran ini,” katanya.

Sehubungan itu seorang pemimpin akar umbi AMK yang terbabit dalam penganjuran acara Ramadan itu menafikan dakwaan tersebut yang disifatkan sebagai tuduhan jahat.

Akhram Ahmar berkata program tersebut yang julung kali diadakan bertemakan semangat perpaduan dan bersifat meraikan bulan Ramadan dengan konsep kesederhanaan bersama pimpinan AMK dan 600 alumni program perlatihan dan kepimpinannya.

Bagaimanapun, Syed Badli Shah meminta orang ramai tidak mengaitkan lagi nama AMK dengan penganjuran tersebut, yang dilihat mencemarkan nama baik sayap parti itu.

“Sebarang program rasmi AMK haruslah melalui konsultasi Majlis Pimpinan AMK terlebih dahulu untuk mengelakkan sebarang ketidak tentuan di masa hadapan,” katanya.