Lelaki maut motosikal langgar lori tangki

Anak bongsu daripada tiga beradik itu, Rozaimy Adam, 21, meninggal dunia selepas motosikal ditunggang bersama seorang rakan melanggar sebuah lori tangki di hadapan stesen minyak Petronas Serendah, jam 11.04 malam.

SERENDAH – Seorang pemuda maut dalam kemalangan di saat keluarga dan rakan sedang menunggu kepulangan bagi menyambut detik hari ulang tahun kelahirannya, malam tadi.

Sinar Harian melaporkan, Anak bongsu daripada tiga beradik itu, Rozaimy Adam, 21, meninggal dunia selepas motosikal ditunggang bersama seorang rakan melanggar sebuah lori tangki di hadapan stesen minyak Petronas Serendah, jam 11.04 malam.

Menurut kakak mangsa, Raihan, 34, mereka sekeluarga mengusahakan kedai makan di Selayang dan berbuka puasa bersama sebelum adik ditemani rakan pulang ke rumah di Tasik Teratai, Serendah.

“Rumah di Serendah tiada orang kerana kami semua di Selayang dan minta adik balik ke rumah sebab meja simen yang kami tempah dah siap serta diletakkan di luar rumah.

“Keluarga tunggu di kedai makan untuk buat kejutan memandangkan hari ini (semalam) adalah hari jadi adik dan kawan-kawan dia pun ada tunggu di kedai mamak nak meraikan sama.

“Bila dah jam 10.30 malam adik tak sampai kedai, kami mula risau dan banyak kali telefon adik tapi tak berjawab. Kemudian ada seseorang yang jawab beritahu adik dah meninggal dunia kemalangan,” katanya kepada Sinar Harian.

Raihan berkata, Allahyarham adiknya tidak banyak bercakap berbanding kebiasaan ketika kali terakhir mereka berbuka puasa bersama.

Menurutnya, Allahyarham Rozaimy yang berkerja sebagai tukang masak di kedai makan itu baru bertunang pada 22 April lalu.

“Saya sendiri dah beli hadiah hari jadi untuk beri pada adik malam tadi tapi kami sekeluarga reda dengan ketentuan ALLAH SWT,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, kemalangan berlaku semasa lori tangki dipandu lelaki berusia 28 tahun dalam perjalanan dari Rawang ke stesen minyak Petronas Serendah.

Menurutnya, lori tangki tersebut mahu membelok ke kanan jalan ke stesen minyak berkenaan dan pada masa sama, sebuah motosikal jenis Kawasaki ER250 C dari arah bertentangan tidak sempat mengelak.

“Motosikal terbabit melanggar bahagian kiri lori tangki dan penunggang yang beralamat di Taman Seri Murni, Selayang meninggal dunia di tempat kejadian.

“Manakala pembonceng berusia 21 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan pemandu lori tangki ditahan untuk siasatan di Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor,” katanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasi di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.