‘Projek kereta nasional baru akan dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta’

Projek kereta nasional baru bukan untuk membina kereta semata-mata tetapi sebagai pemangkin kepada perkembangan usahawan, perniagaan dan industri, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Menurut laporan Malaysiakini, beliau berkata ia juga secara tidak langsung dapat mewujudkan peluang pekerjaan terutama dalam bidang kejuruteraan.

“Ia bukan hanya mewujudkan sebuah kereta tetapi mengambil kesempatan daripada bakat dan sumber yang ada, untuk mewujudkan pemangkin bagi pembangunan ekosistem di mana usahawan, perniagaan dan industri dapat berkembang.

“Kecemerlangan dalam sektor automotif akan menjadi batu loncatan kepada sektor pembuatan dan kejuruteraan peringkat tinggi, seperti industri aeroangkasa yang pada masa ini menjana pendapatan kepada negara lebih RM14 bilion dan mewujudkan 24,500 pekerja mahir pada 2018,” katanya lagi.

Mahathir berkata demikian dalam jawapan parlimen kepada senator Chai Kim Sem yang bertanya sama ada geran peruntukan RM20 juta untuk projek itu sebenarnya untuk membantu syarikat berkaitan kerajaan seperti Sil Terra Malaysia Sdn Bhd yang mengalami kerugian RM7.3 bilion pada 2011.

Berkenaan perkara itu, Mahathir berkata projek kereta nasional baru akan dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta.

“Kesediaan pihak swasta seperti Silterra Malaysia untuk menawarkan kepakarannya dalam projek kereta nasional baru amat dialu-alukan.

“Silterra adalah anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional bhd, mampun menghasilkan komponen kereta ekoran pengalaman yang luas dalam pembuatan cip semikonduktor dalam pelbagai industri selama lebih dua dekad.

Berperanan penting dalam pelaburan teknologi di Malaysia, Mahathir berkata Sil Terra mencatatkan pendapatan tahunan purata sebanyak RM600 juta dan untung RM60 juta bagi tiga tahun berturut-turut.

Pada Januari lalu, Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Yusof memberi jaminan tidak akan ada bail out menggunakan dana awam pada masa akan datang terhadap projek kereta nasional ketiga.

Mahathir mencadangkan kereta nasional baru untuk menggantikan Proton pada Jun 2018.

Pada masa itu, beliau berkata Proton tidak boleh lagi dianggap sebagai kereta nasional memandangkan hampir separuh pegangannya telah dijual kepada syarikat China, Zhejiang Geely Holding Group.

Pada 2017, Geely membeli 49.9 peratus pegangan Proton. DRB-Hicom memiliki 50.1 pegangan dalam syarikat itu.