Umno, Pas dakwa AG campur tangan, desak tubuh RCI kes Adib

Mendakwa bahawa AG telah gagal dalam peranannya untuk memberi nasihat kepada kerajaan, Ismail mencadangkan Thomas supaya meletak jawatan atau dipecat.

Umno dan PAS mendesak kerajaan supaya menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

“Kita tuntut RCI Adib demi keadilan dan juga mengembalikan kepercayaan rakyat, itu yang perlu.

“Terserah kepada budi bicara kerajaan untuk lantik siapa bagi mengendalikan RCI ini,” kata ketua pembangkang, Ismail Sabri Yaakob pada sidang akhbar di Kuala Lumpur petang ini.

Menurut laporan Malaysiakini, Naib presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas timbalan presiden itu juga menuduh Peguam Negara Tommy Thomas campur tangan dalam inkues yang sedang dijalankan untuk menentukan kematian Adib.

Ini susulan nasihat Thomas supaya peguam Syazlin Mansor tidak lagi mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat, yang menyebabkan penarikan dirinya pada Isnin lalu.

Mendakwa bahawa AG telah gagal dalam peranannya untuk memberi nasihat kepada kerajaan, Ismail mencadangkan Thomas supaya meletak jawatan atau dipecat.

“Terbaru, peguam negara arahkan peguam KPKT, Syazlin tarik diri dan kita rasakan Tommy bertindak di luar bidang kuasa, ini merupakan kegagalan beliau dalam peranan menasihati kerajaan.

“Kami di blok pembangkang desak peguam negara letak jawatan atau kerajaan memecat beliau,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, yang juga hadir pada sidang akhbar bersama itu, berkata Thomas tidak sepatutnya mengendalikan Jabatan Peguam Negara seperti firma undang-undangnya.

“Kenapa selepas lima bulan (baru) minta Syazlin tarik diri? Sebelum ini peguam yang hendak mewakili kuil Sri Maha Mariamman dibantah tetapi peguam mewakili Syazlin tidak pernah dibantah. Tommy bertindak di luar batasan kuasanya.

“Kita hendak beritahu beliau, jangan kendalikan Jabatan Peguam Negara sebagai firma guamannya sendiri.

“Jabatan itu ada peraturan dan aturannya. Jangan buat perkara yang boleh menghilangkan keyakinan rakyat pada jabatan itu,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempertahankan tindakan Thomas yang meminta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menarik balik pelantikan Syazlin daripada terus mewakili kementerian itu dan jabatan bomba.

Mahathir berkata, peguam negara mengambil langkah yang sewajarnya.