Bazar Ramadan Mega Klebang diiktiraf terpanjang, terbesar di Malaysia

Penganjur bazar berkenaan, Mohd Nasir Muhammad berkata, bazar sepanjang dua Kilometer itu menawarkan ribuan barangan keperluan bagi melengkapi sambutan perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Bazar Ramadan Mega Klebang, Melaka yang diiktiraf sebagai terpanjang dan terbesar di Malaysia, mampu menarik lebih ramai pelancong domestik ke negeri ini.

Melaka Kini melaporkan, penganjur bazar berkenaan, Mohd Nasir Muhammad berkata, bazar sepanjang dua Kilometer itu menawarkan ribuan barangan keperluan bagi melengkapi sambutan perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Ujar beliau, pihaknya masih dalam proses mendapatkan penarafan The Malaysia Books of Record di atas pencapaian terulung yang dilaksanakan di negeri ini.

Menurutnya, sambutan bazar berkenaan mampu menarik lebih 1 juta pengunjung termasuk dari serata negara dan ia dilihat memberangsangkan sejak permulaan beroperasi hampir sebulan lalu.

“Hampir 90 peratus peniaga di sini terdiri daripada bumiputera dan golongan muda malah bazar ini menyediakan kira-kira 360 gerai buat mereka.

“Pelbagai barangan disediakan di sini meliputi pelbagai kategori termasuk pakaian dan makanan.

“Malah, tahun ini kami turut membuka sebuah tapak baharu dan juga tapak parkir yang luas bagi memudahkan pengunjung mendapatkan perkhidmatan yang disediakan,” katanya ketika ditemui MelakaKini di sini, malam tadi.

Tinjauan MelakaKini mendapati, ribuan pengunjung mula memenuhi kawasan berkenaan terutama antara jam 10 malam sehingga 1 pagi.

Trafik dilihat terkawal walaupun dipenuhi kereta yang diparkir di bahu jalan kerana dikawal hampir 30 petugas yang mengawal lalu lintas di kawasan terbabit.