Pemandu Grab didakwa membunuh pengurus acara

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Muhd. Nur Adib Ahmad Noor ,25, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Haslinda A.Raof kerana kes itu dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh (kanan) ketika dibawa di Mahkamah Majistret Ampang hari ini.

AMPANG – Seorang pemandu grab didakwa di Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi atas pertuduhan membunuh seorang pengurus acara tiga minggu lalu.

Kosmo melaporkan, Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Muhd. Nur Adib Ahmad Noor ,25, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Haslinda A.Raof kerana kes itu dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Ahmad Sya Raziq Mohd. Razman, 33,  di sebuah rumah di Residensi Bistari, Jalan Ukay Bistari, Ukay Perdana di sini antara pukul 11 pagi hingga 12 tengahari pada 11 Mei lalu. 


Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati. 

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Julai depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat, forensik dan kimia. 

Dalam prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd. Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Kosmo! 13 Mei lalu melaporkan seorang pengurus acara ditemui mati dibunuh dengan beberapa kesan tikaman pada dada dan perut di tingkat tujuh pangsapuri Residensi Bistari, Ukay Perdana di sini. 

Mangsa yang dikenali sebagai Shakim, 33, dijum­pai rakan serumahnya sebelum menghubungi pihak berkuasa bagi memaklumkan kejadian pada pukul 1.06 pagi itu. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Mohd. Zaid Hassan berkata, bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan polis dikerahkan ke lokasi kejadian sebelum me­nemui mangsa dalam keadaan darah.