Abdul Wahid dilantik Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Yayasan Pahang

Pelantikan itu bertepatan dengan pengalaman luas beliau selama 30 tahun dalam dunia perbankan, pelaburan dan pengurusan korporat di Malaysia.

Yayasan Pahang mengumumkan pelantikan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Abdul Wahid Omar sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Yayasan Pahang bermula Februari 2019.

Dalam satu kenyataan melalui Facebook Yayasan Pahang, pelantikan itu bertepatan dengan pengalaman luas beliau selama 30 tahun dalam dunia perbankan, pelaburan dan pengurusan korporat di Malaysia.

Yayasan Pahang juga mengakui pelantikan itu bertepatan dengan kelulusannya sebagai seorang Akauntan bertauliah ahli ACCA, Institute of Chartered Accountants in England & Wales (ICAEW) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA) serta memiliki reputasi sebagai salah seorang ahli korporat yang versatil setelah menerajui empat organisasi korporat yang besar dengan jayanya.

Latat belakang Abdul Wahid

Tan Sri Abdul Wahid Omar dilahirkan di Johor Bahru, Johor pada 19 Januari 1964. Beliau adalah anak yang kesembilan daripada sebelas beradik.

Anak kepada pasangan Haji Omar Esa iaitu bekas pekerja am Tentera British di Singapura dan isteri, Hajah Halimah Hassan seorang tukang jahit di Johor Bharu, Johor itu amat berminat dengan mata pelajaran matematik dan memilih bidang perakaunan sebagai kerjayanya.

Tan Sri Abdul Wahid adalah bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Seremban yang mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke United Kingdom pada tahun 1982.

Bermula dengan kelulusan A Levels di Tresham College, Kettering, Tan Sri Abdul Wahid meneruskan pengajian di peringkat levels 1 & 2 The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA)
di Luton College of Higher Education (ekarang dikenali sebagai Bedfordshire University).

Selepas memperolehi Diploma in Advanced Accounting pada 1985, beliau meneruskan pembelajaran untuk melengkapkan kelulusan tahap 3 perakaunan bertauliah ACCA di Kolej Chart Foulks Lynch, London pada tahun 1987.

Sekembalinya ke Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid memulakan kerjaya sebagai Pembantu Audit di firma
perakaunan KPMG di Kuala Lumpur pada tahun 1987.

Pada 1991 beliau menyertai Kumpulan FIMA Berhad sebagai Naib Presiden Kewangan dan pada 1994 beliau dilantik pula sebagai Pengarah Perkhidmatan Korporat di Amanah Capital Group.

Seterusnya, beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Kumpulan Telekom Malaysia Berhad (TM) pada 1 Mac 2001.

Dalam jangkamasa singkat, beliau telah memperkenalkan pelan pembiayaan dan menggerakkan beberapa inisiatif korporat di Kumpulan TM.

Pada Oktober 2001 beliau telah dipilih menerajui Kumpulan UEM-Renong iaitu sebuah konglomerat infrastruktur terbesar di Malaysia sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan.

Setelah berkhidmat selama tiga tahun dan berjaya memulihkan kedudukan kewangan Kumpulan UEM, Tan Sri Abdul Wahid telah diminta untuk kembali ke Kumpulan TM sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan pada Julai 2004.

Pada 1 Mei 2008, Tan Sri Abdul Wahid telah dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank dan diberi mandat untuk mentransformasi Maybank menjadi sebuah kumpulan perbankan serantau.

Berdasarkan prestasi dan pengalaman pengurusan korporat yang luas, Tan Sri Abdul Wahid telah dilantik sebagai seorang Senator dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas Unit Perancang Ekonomi pada 5 Jun 2013.

Selepas tamat satu penggal memegang jawatan di Jabatan Perdana Menteri, beliau dilantik pula sebagai Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada 1 Ogos 2016.

Beliau bersama Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Dato’ Abdul Rahman Ahmad telah melancarkan Pelan Strategi PNB 2017-2022 pada November 2016 untuk menjadikan PNB sebagai sebuah firma pelaburan distinktif bertaraf dunia.

Tan Sri Abdul Wahid telah bersara daripada PNB pada 30 Jun 2018 dan kini menguruskan pelaburan peribadi beliau sendiri.

Bagaimanapun, beliau masih meneruskan khidmat sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah, Universiti Kebangsaan Malaysia mulai 1 November 2018.

Beliau telah menerima pelbagai anugerah sepanjang tempoh 30 tahun termasuk Anugerah ‘Malaysia’s CEO of The Year 2006’ daripada Business Times / American Express: ‘The Asian Banker’s 2013 Leadership Achievement Award for Malaysia’ dan ‘The Edge Value Creator Award 2013’.

Beliau juga adalah penerima Ijazah Kehormat Kedoktoran Ekonomi daripada Universiti Multimedia Malaysia pada tahun 2014.

Sebagai pengiktirafan pencapaian dan sumbangan beliau kepada negara, Tan Sri Abdul Wahid telah dikurniakan pingat Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) dan Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) dan Darjah Kebesaran Dato’ Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS).Beliau juga telah dikurniakan pingat Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’.

Turut dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pelaburan Yayasan Pahang adalah tokoh korporat :YH Dato’ Sri Kamaruddin bin Mohammed dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH Dato’ Mahmud bin Mohd Nawawi.