‘Gesa naik cukai import alkohol, rokok’

Cukai import bagi minuman keras dan rokok tidak dinaikkan dalam tempoh 15 tahun lalu dan pengguna masih mampu membeli barangan berkenaan kerana harganya yang disifatkan masih murah. - Pengarah Komunikasi PKR Melaka, G Rajandran

Pengarah Komunikasi PKR Melaka, G Rajandran menggesa Kementerian Kewangan menaikkan cukai import alkohol dan rokok pada Bajet 2020 yang akan dibentangkan pada hujung tahun ini.

Malaysiakini melaporkan, menurut G Rajandran, cukai import bagi minuman keras dan rokok tidak dinaikkan dalam tempoh 15 tahun lalu dan pengguna masih mampu membeli barangan berkenaan kerana harganya yang disifatkan masih murah.

“Pada Bajet 2020, cukai import bagi alkohol dan rokok perlu dinaikkan sekurang-kurangnya 30 peratus. Dengan kenaikan cukai import, saya percaya kerajaan mampu mengekang pembelian rokok dan penjualan arak murah,” katanya.

Mengulas lanjut, Rajandran berkata kajian oleh Kementerian Kewangan pada tahun 2017 menunjukkan rakyat Malaysia masih mampu membeli barangan berkenaan walaupun harga ditingkatkan.

Kajian Kementerian Kewangan itu berdasarkan kemampuan membeli rokok dan alkohol di Malaysia dari tahun 1985 hingga 2015.

“Kajian itu juga menunjukkan bahawa kerajaan dikatakan terpaksa menanggung beban kos rawatan sebanyak RM7 bilion menjelang tahun 2025.

“Bagi mengimbangkan kos rawatan ini, kerajaan perlu mengambil langkah awal dengan menaikkan cukai import bagi alkohol dan rokok dalam bajet 2020,” jelasnya.

Tambahnya, pembelian rokok dan alkohol di kalangan pelajar sekolah termasuk pelajar beragama Islam juga sangat membimbangkan.

“Situasi ini sangat mengecewakan kerana anak-anak kita cepat menjadi ketagih kepada rokok dan minuman arak kerana mereka mampu membelinya. 

“Dengan meningkatkan harga, sedikit sebanyak gejala ini mampu dicegahkan,” saran beliau.

Beliau juga mencadangkan harga sekotak rokok bagi 20 batang ditingkatkan antara RM25 hingga RM30.

“Kalau boleh mansuhkan terus penjualan minuman arak murah,” tegasnya.