Jangan fitnah makanan tradisional Melayu lemang periuk kera

“Sebenarnya tidak perlu masuk jauh-jauh dalam hutan pun untuk cari periuk kera ni. Tiap tahun aku cari di tempat yang sama, maknanya pokok kera tak mati pun atau pupus seperti dakwaan ‘pencinta alam sekitar’ itu". - Peniaga lemang periuk kera, Muhammad Shahrinnahar

Artikel yang tular mengenai tumbuhan yang dikenali sebagai periuk kera secara tidak langsung memberi kesan kepada peniaga yang menjual makanan eksotik lemang periuk kera.

Ada artikel yang mendedahkan seorang pensyarah sebuah universiti tempatan mendakwa aktiviti itu akan mengurangkan populasi tumbuhan berkenaan ada yang juga artikel yang mendakwa periuk kera menjadi ‘mangkuk tandas’ bagi haiwan tertentu.

Mana tidaknya, perniagaan yang dijalankan bukanlah memberi pulangan yang besar namun apabila mula ada pelanggan yang membatalkan tempahan, maka ia merugikan peniaga berkenaan.

Seorang peniaga lemang periuk kera, Muhammad Shahrinnahar Abdul Latib, melalui hantaran di facebook mengakui pada peringkat awal tidak mahu ambil peduli berkenaan isu itu namun mula rasa terkilan apabila ada pelanggan yang membatalkan tempahan untuk Hari Raya Aidilfitri yang semakin hampir.

Set lemang periuk kera yang disediakan Muhammad Shahrinnahar kepada pelanggannya.

“Aku sebenarnya malas nak ambil tahu sangat pasal viral lemang periuk kera ni, tapi apabila ada sorang pelanggan aku cancel order lemang untuk raya ni aku rasa agak terkilan sikit. Walaupun dia order tak banyak, aku terasa jugak,” katanya.

Sudah dua tahun menjual makanan eksotik itu, beliau yang menetap di Kuantan turut mendedahkan bahawa hanya satu tempat yang menjadi lokasi beliau mencari tumbuhan periuk kera itu.

Menurutnya, lokasi pencariannya adalah sekitar kawasan belukar dan lereng bukit di tepi jalan sepanjang Jalan Kuantan-Maran.

“Sebenarnya tidak perlu masuk jauh-jauh dalam hutan pun untuk cari periuk kera ni. Tiap tahun aku cari di tempat yang sama, maknanya pokok kera tak mati pun atau pupus seperti dakwaan ‘pencinta alam sekitar’ itu.

“Malah pada tahun ni aku rasa hasil periuk kera yang aku kutip lagi banyak dari tahun lepas. Maknanya pokok periuk kera semakin bercambah dan membiak dengan baik. Kawasan yang aku kutip pula, aku dah anggap macam kebun periuk kera aku. Tiap tahun aku akan datang kutip di situ,” katanya.

Tidak pernah jumpa najis haiwan dalam periuk kera

Dalam pada itu, beliau juga menegaskan bahawa proses membuat lemang periuk kera amat menitik beratkan kebersihan dengan kelongsongnya akan dicuci dengan sebersih-bersihnya sebelum digunakan.

Muhammad Shahrinnahar akan membersihkan periuk kera sebelum diproses menjadi lemang dan menolak dakwaan bahawa periuk kera merupakan ‘mangkuk tandas’ bagi haiwan tertentu kerana tidak pernah menemui najis haiwan di dalamnya.

Katanya, sehingga hari ini, lebih 5,000 kelongsong yang telah dibasuh dan tidak pernah lagi menemui najis haiwan di dalamnya.

“Satu lagi, kelongsong yang aku guna ni kecil, macam mana tupai atau kelawar nak berak dalam tu. Ada satu keje pulak dia nak berak dalam tu.

“Untuk makluman ‘pencinta alam sekitar’ lagi, kawasan banyak periuk kera ini adalah kawasan tanah yang berasid dan bekas-bekas lombong. Haiwan tak suka duduk kawasan tu, sebab itu sepanjang aku cari, tak pernah lagi bertembung dengan haiwan-haiwan ini,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menempelak golongan yang terlibat dengan artikel periuk kera yang tular itu.

“Jadi kesimpulannya di sini, kalau nak beli, beli..kalau tak nak sudah. Jangan nak fitnah makanan tradisional masyarakat Melayu dan Orang Asli ni dengan macam-macam fitnah. Jual lemang ni bukan boleh kaya pun, sekadar boleh beli baju raya anak-anak je..,” katanya.