Sikap penunggang motosikal antara punca penyebab kemalangan

Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan Mohd Apandi Jusoh berkata, kebanyakan penunggang motosikal di negeri ini hanya belajar mengenai keselamatan ketika proses mendapatkan lesen memandu namun melupakannya selepas berjaya memperoleh lesen.

KOTA BHARU – Sikap pengguna motosikal yang mengambil mudah soal keselamatan ketika menunggang termasuk tidak memakai topi keledar, lampu isyarat rosak atau lampu brek belakang tidak berfungsi adalah antara punca utama kemalangan melibatkan penunggang motosikal.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan Mohd Apandi Jusoh berkata, kebanyakan penunggang motosikal di negeri ini hanya belajar mengenai keselamatan ketika proses mendapatkan lesen memandu namun melupakannya selepas berjaya memperoleh lesen.

Beliau berkata, pelbagai kempen sudah dilakukan oleh pelbagai agensi bagi mendidik pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal tetapi kurang berkesan.

“Berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sebanyak 60 hingga 65 peratus kemalangan maut seluruh negara kebanyakannya adalah melibatkan penunggang motosikal.

Berdasarkan statistik tahun lepas, dianggarkan sebanyak 18 kematian sehari di seluruh negara dengan kebanyakannya melibatkan penunggang motosikal disebabkan pengabaian dari sudut fizikal motosikal yang ditunggangi,” katanya kepada pemberita selepas Op Khas Motosikal di Kubang Kerian di sini hari ini.

Mohd Apandi berkata, amat sukar mengubah sikap penunggang motosikal terutamanya yang tinggal di luar dan pinggir bandar.
Beliau berkata ada sesetengah ibu bapa yang memakai topi keledar ketika menunggang motosikal tetapi anak yang dibonceng tidak dipakaikan topi keledar dan boleh menyebabkan cedera parah atau maut jika berlaku kemalangan. – Bernama