Ballon d’Or milik Van Dijk?

Pemain pertahanan dari Belanda itu mempamerkan aksi cemerlang di pentas Eropah apabila memastikan Liverpool tidak bolos dalam enam perlawanan menjelang kemenangan 2-0 mereka ke atas Tottenham Hotspur pada aksi final Liga Juara-Juara, hari ini.

PERTAHANAN Liverpool, Virgil van Dijk (kanan) menjulang trofi Liga Juara-Juara selepas menumpaskan Tottenham Hotspur 2-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Wanda Metropolitano, Madrid, hari in. - AFP

LONDON – Bintang Liverpool, Virgil van Dijk percaya Lionel Messi akan kekal sebagai calon Ballon d’Or 2019, namun, mengakui dia tidak kisah dengan anugerah tersebut selepas berjaya mendakap trofi Liga Juara-Juara.

AFP melaporkan, Pemain pertahanan dari Belanda itu mempamerkan aksi cemerlang di pentas Eropah apabila memastikan Liverpool tidak bolos dalam enam perlawanan menjelang kemenangan 2-0 mereka ke atas Tottenham Hotspur pada aksi final Liga Juara-Juara, hari ini.

Sudahpun merangkul Pemain Terbaik Tahunan PFA serta Pemain Terbaik Liga Perdana Inggeris, Van Dijk kini berpotensi sebagai pertahanan pertama untuk merangkul anugerah Ballon d’Or sejak Fabio Cannavaro berbuat demikian pada 2006.

Sekalipun, berjaya mengatasi Messi dan Barcelona dalam separuh akhir sebelum muncul juara di Stadium Wanda Metropolitano, hari ini, Van Dijk percaya bintang Argentina itu kekal sebagai calon yang berpotensi untuk memenangi anugerah tersebut.

“Saya fikir Messi adalah pemain terbaik di dunia. Dia mampu memenangi Ballon d’Or. Saya tidak fikirkan tentang itu, tetapi jika saya menang (anugerah) saya ambil. Messi patut memenanginya. Dia adalah pemain terbaik di dunia sama ada mara ke final atau tidak,” katanya selepas tamat perlawanan akhir tersebut. – AGENSI