Hutang dan liabiliti negara menurun – Guan Eng

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, walaupun terdapat peningkatan hutang langsung kerajaan, secara keseluruhan hutang dan liabiliti kerajaan telah turun 3.9 peratus berbanding tahun 2017.

Lim Guan Eng - Foto Reuters

PUTRAJAYA – Kerajaan berjaya mengawal dan mengurangkan hutang serta liabiliti kerajaan secara keseluruhan kepada 75.4 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2018.

Sinar Harian melaporkan, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, walaupun terdapat peningkatan hutang langsung kerajaan, secara keseluruhan hutang dan liabiliti kerajaan telah turun 3.9 peratus berbanding tahun 2017.

Menurutnya, penurunan itu disebabkan rasionalisasi ke atas kos projek-projek mega serta pembayaran Kerjasama Awam Swasta atau Public-Private Partnership (PPP).

“Hutang dan liabiliti kerajaan dianggarkan akan meningkat berbanding sekarang sekiranya tidak melakukan rasionalisasi terhadap kos beberapa projek seperti ECRL, MRT2, LRT3 dan projek mega lain.

“Sebagai contoh, kos LRT3 yang sebahagian besar akan ditanggung dan dibayar melalui jaminan kerajaan telah dipotong 47 peratus atau RM15.02 bilion berbanding kos asal.

“Kerajaan juga telah mendapatkan penjimatan RM8.8 bilion bagi projek MRT2 manakala 121 projek infrastruktur kecil di seluruh negara secara kolektif bernilai RM13.9 bilion telah mendapat penjimatan RM806 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kos projek ECRL pula telah diturunkan kepada RM44 bilion berbanding kos asal RM65.5 bilion, penjimatan sebanyak RM21.5 bilion.

Jelasnya, satu lagi contoh rasionalisasi ialah pembatalan dua projek saluran paip kelolaan Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER) di mana 88 peratus daripada kos RM9.4 bilion telah dibayar walaupun kemajuan kerja bagi projek tersebut hanyalah 13 peratus.

“Kemajuan kerja sebanyak 13 peratus ini juga tidak dapat disahkan. Sehingga kini, masih tiada lagi penjelasan diberikan atas sebab apa pentadbiran terdahulu meluluskan kontrak tidak adil ini.

“Kontrak tersebut dilihat menggugat kepentingan kerajaan dan rakyat Malaysia sambil menguntungkan para kontraktor secara berlebihan,” tegas beliau.

Katanya lagi, kerajaan akan terus mengurangkan tanggungan hutang dan liabilitinya secara keseluruhan, bukan hanya menumpukan hutang langsung kerajaan.

“Jawatankuasa Pengurusan Hutang yang baru ditubuhkan oleh kerajaan akan meneruskan usaha konsolidasi fiskal bagi mengawal peningkatan hutang langsung kerajaan, tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

“Usaha ini yang dijalankan seiringan dengan tadbir urus yang lebih telus dan lebih baik, akan mengurangkan lagi hutang dan liabiliti kerajaan secara keseluruhan pada tahun 2019 dan seterusnya,” jelas beliau.