Klopp hubungi Guardiola selepas tamat perlawanan

Salah menjaringkan gol antara terpantas dalam sejarah Liga Juara-juara menerusi sepakan penalti pada minit pertama perlawanan selepas bola terkena tangan Moussa Sissoko.

PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp (tengah) menjulang trofi selepas skuad bimbingannya memenangi Liga Juara-Juara dalam perlawanan akhir menentang Tottenham Hotspur di Stadium Wanda Metropolitano, Madrid, semalam. - AFP

LONDON – Jurgen Klopp mendedahkan dia ada menghubungi bos Manchester City, Pep Guardiola selepas menjulang Liga Juara-Juara dengan menumpaskan 2-0 Tottenham Hotspur dalam perlawanan akhir di Madrid hari ini.

Utusan melaporkan, Salah menjaringkan gol antara terpantas dalam sejarah Liga Juara-juara menerusi sepakan penalti pada minit pertama perlawanan selepas bola terkena tangan Moussa Sissoko.

Penyerang Belgium, Origi, yang menjaringkan gol kemenangan ketika menentang Barcelona di peringkat separuh akhir, melengkapkan kecemerlangan Liverpool menerusi sepakan lerek.

Kemenangan tersebut mengesahkan kejayaan Liverpool pada penghujung musim selepas kecewa terlepas gelaran Liga Perdana Inggeris apabila ketinggalan hanya satu mata daripada juara, City yang mengumpul 98 mata.

“Beberapa saat yang lalu, saya ada bercakap dengan Pep Guardiola menerusi telefon. Ketua fisio (Lee Nobes) kami yang lalu bekerja di Manchester City pada awal tahun ini, namun dia mahu memenangi Liga Juara-Juara…tidak, itu hanyalah gurauan.

“Kami sebenarnya berjanji akan bersaing sekali lagi musim depan. Kami akan memberikan segalanya dan lihat apa yang akan terjadi.

“Dapat mengumpul 97 mata dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan menang Liga Juara-Juara adalah sesuatu yang sukar dipercayai dan satu perjalanan yang jauh. Kami akhirnya berjaya melakukannya. Menakjubkan.

“Sekarang kami telah menang sesuatu. Kami akan membawanya bersama untuk menang lebih banyak lagi trofi. Harap yang tinggi. Saya sangat gembira,” kata Klopp.- AGENSI