Lasykar Rakyat tak lengah gerakkan misi kebajikan

Sebelum didaftarkan lagi, kumpulan anak muda yang pernah bergerak melalui beberapa NGO itu juga pernah membaiki sebuah rumah di sebuah kampung tradisional di daerah yang turut dikenali sebagai titik tengah semenanjung itu.

Sebuah NGO di Temerloh yang baru diluluskan pendaftaran sebulan lalu oleh ROS tidak berlengah sebaliknya terus mula menggerakkan misi menghulurkan sumbangan kepada pihak memerlukan sempena Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang semakin hampir.

NGO yang dikenali sebagai Lasykar Rakyat itu lebih memberi tumpuan kepada aspek kebajikan rakyat di sekitar daerah ini.

Sebelum didaftarkan lagi, kumpulan anak muda yang pernah bergerak melalui beberapa NGO itu juga pernah membaiki sebuah rumah di sebuah kampung tradisional di daerah yang turut dikenali sebagai titik tengah semenanjung itu.

Ahli NGO Lasykar Rakyat yang sebelum ini pernah dikenali sebagai Pencuci Dosa atau Lasykar Pak Sako sedang membaiki sebuah rumah di Kampung Pulau isi, Temerloh.

Pengerusinya, Abdul Razak Endut, berkata, sepanjang Ramadan ini sebanyak dua program menyerahkan sumbangan kepada golongan asnaf telah dilakukan.

Menurutnya, pihaknya berhubung rapat dengan agensi kerajaan terlibat bagi mendapatkan nama penerima atau golongan asnaf yang benar-benar layak.

“Setakat ini dana daripada sumbangan daripada individu tertentu yang percaya kepada Lasykar Rakyat untuk mengagihkan sumbangan.

“Sepanjang Ramadan sebanyak empat keluarga telah dibantu melalui sumbangan barang-barang makanan dan asas serta bantuan kewangan,” katanya ketika ditemui di Temerloh, hari ini.

Bagaimanapun, Abdul Razak berkata, akibat kekangan masa ahli yang masing-masing terikat dengan pekerjaan, program ditangguhkan sementara.

“Kita akan teruskan lagi selepas Hari Raya Aidilfitri atau sepanjang Syawal ini dengan menyalurkan sumbangan hasil dana yang dikumpulkan,” katanya.