Malaysia enggan dipaksa memilih AS atau China

Kata Liew pendirian negara adalah jelas iaitu tidak mahu didesak untuk memilih salah satu daripada negara terbabit

Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong berkata Malaysia tidak mahu dipaksa untuk memilih memihak di antara China atau AS ketika hubungan dagang kedua-dua kuasa besar itu berseteru.

Menurut laporan Malaysiakini, Kata Liew pendirian negara adalah jelas iaitu tidak mahu didesak untuk memilih salah satu daripada negara terbabit.

“Kita mahukan hubungan yang membina dengan kedua-dua kuasa besar itu, selain negara ‘kuasa pertengahan’.

“Jika kita melihat isu ini dalam perspektif China dan AS saja, maka ruang untuk yang lain dan saya fikir apa yang kita cuba lakukan di Malaysia dan Singapura ialah membina cara alternatif,” katanya.

Bercakap kepada stesen CNBC hari ini Liew menjelaskan Malaysia berhasrat mengadakan hubungan yang baik dengan kedua-dua negara.

Ketika ini Washington dan Beijing berdepan dengan kemelut berhubung hubungan dagang kedua-dua negara.

Sebelum ini Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Putrajaya lebih berminat kepada China yang “kaya” berbanding AS yang “sukar dijangka” jika negara ini dipaksa membuat pilihan.

Bagaimanapun menurut beliau kenyataan tersebut dibuat berdasarkan pertimbangan ekonomi semata-mata.

Sementara itu Liew mengakui langkah bekerjasama dengan China dan AS adalah mencabar, namun menegaskan keadaan itu juga berlaku kepada negara lain.

Katanya, 2019 menandakan berakhirnya tempoh tiga dekad yang bermula dengan kejatuhan Tembok Berlin pada 1989, dan era baru bermua dengan peratuan serta keseimbangan kuasa yang baru.

“Era baru itu ialah AS masih negara yang besar, kuasa ekonomi dan tentera terbesar yang tunggal.

“Tapi pada masam sama, China tidak kecil. Dan anda ada Rusia, ada kuasa pertengahan lain seperti Jepun, Australia, Indonesia, Turki, Iran, dan mereka semua ada suara, tidak seperti tempoh yang bermula apabila Tembok Berlin runtuh,” katanya.