RTM sedia lebih 62 program terbaik sempena Aidilfitri

Pengisian program kali ini menjanjikan program hebat merangkumi dua program siaran langsung, 10 filem, 15 telefilem, tiga drama bersiri, lapan muzikal, 15 program majalah dan dokumentari, lima program keagamaan, dua program kanak-kanak serta dua program Sabah dan Sarawak.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal tampil dengan pelbagai program menarik sempena sambutan Aidilfitri pada tahun ini dengan himpunan lebih 62 program terbaik yang akan disiarkan menerusi tiga saluran RTM iaitu di TV1, TV2 dan TV Okey.

Pengisian program kali ini menjanjikan program hebat merangkumi dua program siaran langsung, 10 filem, 15 telefilem, tiga drama bersiri, lapan muzikal, 15 program majalah dan dokumentari, lima program keagamaan, dua program kanak-kanak serta dua program Sabah dan Sarawak.

Begitu juga menerusi saluran 33 stesen radio RTM yang menjanjikan pelbagai program utama sepanjang perayaan besar umat Islam ini.

TV1

Siaran Langsung Gema Takbir Raya akan disiarkan pada malam raya jam 9 malam meraikan kehadiran Syawal di TV1. Program bual bicara santai ini menampilkan Ustaz Haryanto Rizal Rokman dan Ustaz Gazali Ibrahim membincangkan mengenai pengalaman Ramadan, di ambang Syawal dan indahnya Syawal.

Slot telefilem khas akan dimulakan dengan tayangan Rendang Janda Timah yang akan disiarkan pada 5 Jun jam 10 pagi diikuti Detektif Kemon (5 Jun, 9 malam), Jubakar (6 Jun, 10 pagi), Kecoh Malam Raya (7 Jun, 9 malam) dan Menantu Raya (8 Jun, 9 malam). Diikuti program hiburan istimewa inspirasi Syawal menerusi konsert XPDC VS Hujan pada 9 Jun jam 9 malam, Konsert 3 Suara, Konsert Lebih Indah Bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza, Konsert Sentuhan Listrik dan Konsert Dimensi Legenda Raya.

Selain itu, lima program majalah yang turut dinantikan ialah Ketuk-Ketuk Syawal 2019 pada 5 Jun jam 12 tengah hari dan travelog Jendela Inspirasi Turki (5 dan 6 Jun, 1.30 petang).

TV2

Pada malam raya penonton disajikan dengan program Betul-Betul Raya 2019, terbitan Unit Hiburan RTM mulai 8.30 malam yang menampilkan artis Hael Husaini, Sarah Suhairi, Nabila Razali, Floor 88, Naim Daniel dan Rahimah Rahim.

Saksikan juga Konsert Wings & Super Friends pada 6 Jun, jam 2 petang yang mengetengahkan Wings berkongsi pentas dengan artis tersohor Datuk M. Nasir, Datuk Ramli Sarip, Datuk Hattan, Datuk Nash, Ito, Syamel, Maya Karin, Liza Hanim dan Sahara Yaacob.

Penonton dijanjikan juga dengan filem-filem yang terdiri daripada Chowrasta (6 Jun, 5 petang), Azura (7 Jun, 2 petang), Ola Bola (9 Jun, 2 petang), Surga Yang Tak Dirindukan 1 & 2 (5 dan 6 Jun, 8.30 malam).

Sementara slot telefilem khas raya pula menyajikan Mana Ada Hantu Malam Raya pada 4 Jun, jam 10.30 malam, Kau, Aku Hantu Raya (5 Jun, 11 malam) dan Semperit Cinta (6 Jun, 11 malam).

TV Okey

Saluran TV Okey meraikan Syawal ini setiap hari, mulai 6 Jun ini, jam 1 petang dengan program realiti masakan, Perang Ketuhar Raya yang menampilkan artis jemputan Farah Hazel, Ain Edruce, Zara Zya dan Hannah Delisha.

Seterusnya program Biscotti Raya siri 3 (5 Jun ini, 11 pagi), Juadah Nik Michael (5 Jun, 10.30 pagi, Cuit-Cuit Istimewa Syawal (5 Jun, 1 petang), Infiniteen Khas Raya (7 Jun, 4 petang).

Drama rantaian turut disiarkan iaitu Hip Stanza Fitri, selain program dari Sabah dan Sarawak, Bah! Apa Cerita Raya serta Juh! Bincang Raya.

Stesen Radio

Bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama RTM tahun ini, saluran radio RTM ibu pejabat dan negeri juga tampil dengan pelbagai program khas buat pendengar sepanjang musim perayaan ini.

Pada hari raya pertama dan kedua, Nasional FM tampil dengan program Magnet Raya dan Showcase Pujaan 10 Sesuci Lebaran. Manakala Raudhah Khas Aidilfitri, Fitrah Syawal disiarkan menjelang raya hingga raya keempat.

Radio Klasik berkongsi program komedi ringan pahit manis hidup bermadu dalam Ketupat Madu dan Buloh Inn Raya. Sementara KLFM pula tampil dengan program Raya Mesti Gembira.Saluran radio negeri juga turut memeriahkan perayaan ini dengan mengaturkan program khas masing-masing.