Sambut Syawal dengan gaya pahlawan Melayu

Kesemua lelaki itu yang juga penggiat busana Melayu Tradisional lengkap bertanjak dari ‘Kelab Serindit Mati Tersepit’ mencuri perhatian jemaah lain sebaik tiba di pekarangan masjid Sultan Ahmad 1 di awal pagi 1 Syawal.

Di sebalik gelombang populariti persalinan jubah dan kurta yang menjadi pilihan sebilangan umat Islam pada pagi Syawal, masih ada dalam kalangan masyarakat masih utuh jati diri dan kemelayuan mereka.

Menurut laporan Astro AWANI, sambutan di Kuantan, Pahang misalnya menyaksikan seramai 30 lelaki Melayu muncul dengan gaya pahlawan Melayu semasa hadir menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Kesemua lelaki itu yang juga penggiat busana Melayu Tradisional lengkap bertanjak dari ‘Kelab Serindit Mati Tersepit’ mencuri perhatian jemaah lain sebaik tiba di pekarangan Masjid Sultan Ahmad 1 di awal pagi 1 Syawal.

Insiatif berbusana Melayu lama itu dilakukan mereka sebagai usaha mengangkat semangat tradisi yang diwarisi.

Kehadiran sekumpulan lelaki Melayu mengenakan pakaian pahlawan mendapat perhatian ramai di pagi 1 Syawal. - Gambar Astro AWANI

Kehadiran sekumpulan lelaki Melayu mengenakan pakaian pahlawan mendapat perhatian ramai di pagi 1 Syawal. – Gambar Astro AWANI

Jurucakap kumpulan itu, Nor Azman Norawi berkata, apa yang membanggakan, sejak kebelakangan ini semakin ramai masyarakat Melayu mula menunjukkan minat kepada pakaian ala-ala pahlawan lengkap bertanjak.

Di Kuantan sahaja, kata Nor Azman, terdapat lebih kurang 200 penggemar busana itu.

“Perjumpaan di masjid ini sesuatu amat baik dan harapan kami benda (trend memakai busana Melayu) ini tersebar di seluruh Malaysia, seluruh semenanjung nusantara Melayu. Kita angkat semula warisan orang Malayu ni bertanjak berbusana sebagainya,” katanya.

Menurut Nor Azman, kesemua mula mengenakan busana pahlawan Melayu sejak sedekad lalu berikutan minat yang mendalam dengan pakaian bertema pendekar zaman dahulu.

“Alhamdullilah melalui daripada yang diviralkan di Facebook dan sebagainya kita nampak benda ni semakin berkembanglah di seluruh pelusuk negara,” ujarnya lagi.

Segak sungguh pahlawan Melayu menyambut lebaran. - Gambar Astro AWANI
Segak sungguh pahlawan Melayu menyambut lebaran. – Gambar Astro AWANI

Melalui persalinan pahlawan ini juga, Azman berkata, banyak yang boleh dipelajari dalam pemakaian busana Melayu seperti susur galur sesuatu pemakaiannya dan zaman atau kesultanan mana asalnya sesuatu jenis busana.

Sementara itu hampir 5,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1.

Solat sunat itu diimamkan oleh Datuk Mohd Faizul Ghazali manakala khutbahnya disampaikan oleh Ustaz Mohd Khalil Mohd Zari.