Pas cadang Jawatankuasa Khas Parlimen digantung

Pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuktikan jawatankuasa tersebut tidak memainkan peranannya. - Tuan Ibrahim

Pas mencadangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam digantung sehingga Pakatan Harapan (PH) menghormati janjinya sendiri.

Astro AWANI yang memetik Sinar Harian melaporkan, Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuktikan jawatankuasa tersebut tidak memainkan peranannya.

“Tidak dapat dinafikan daripada sudut undang-undang, keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melantik Latheefa tanpa sebarang perbincangan adalah prerogatif beliau.

“Memandangkan nasi sudah menjadi bubur, Pas berharap Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru dapat membuktikan kebolehan beliau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, sebagai salah seorang ahli jawatankuasa tersebut, beliau mencadangkan jawatankuasa itu digantung serta-merta.

“Ia memandangkan sekali lagi kerajaan PH tidak dapat mengambil serius dan menghormati manifesto dan janji mereka sendiri. Perlu diingat manifesto PH menyatakan, lantikan awam utama perlu melalui jawatankuasa itu.

“Mereka turut berjanji agar tiada lagi lantikan politik dalam jawatan perkhidmatan awam,” tegas beliau.

Ujarnya lagi, manifesto tersebut turut menyatakan bahawa Dr Mahathir akan memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri apabila tiba waktunya nanti.

“Malangnya di dalam episod ini, PH sekali lagi memahat ke sanubari rakyat bahawa janji mereka tidak boleh diambil secara serius,” katanya.

Latheefa dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuat kuasa 1 Jun lalu selepas Datuk Seri Mohd Shukri Abdull menamatkan kontraknya lebih awal.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan pelantikan Latheefa adalah untuk tempoh kontrak dua tahun dan telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kenyataan itu juga menyebut Seri Paduka Baginda turut memperkenankan permohonan Mohd Shukri untuk memendekkan tempoh kontrak beliau yang sepatutnya berakhir 17 Mei 2020.