Penyakit tibi, jangkitan kuman punca kematian 13 Orang Asli Gua Musang

Dua laporan daripada Orang Asli membabitkan jangkitan kuman di paru-paru atau ‘Pneumonia’. - Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Taufik Maidin

Penyakit tibi dan jangkitan kuman di paru-paru dipercayai menjadi punca kematian 13 Orang Asli suku kaum Batek di Kuala Koh, Gua Musang.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Taufik Maidin berkata, 13 kematian itu dicatatkan dalam tempoh sejak Mei lalu sehingga kelmarin.

Menurut laporan Berita Harian, Taufik berkata, pihaknya menerima dua laporan daripada Orang Asli membabitkan jangkitan kuman di paru-paru atau ‘Pneumonia’.

“Seorang lelaki berusia 30 tahun meninggal dunia pada 29 Mei lalu dan wanita berusia 21 tahun meninggal dunia jam 4 petang kelmarin disebabkan jangkitan kuman di paru-paru yang menyebabkan batuk teruk.

“Hasil bedah siasat di Hospital Gua Musang mendapati mereka meninggal dunia kerana batuk teruk.

“Siasatan juga mendapati ramai lagi penduduk yang menghidap penyakit yang sama (jangkitan kuman di paru-paru) dan dipercayai tibi termasuk 31 orang yang sedang menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel berkaitan: Penyakit misteri ragut nyawa Orang Asli suku Bateq Gua Musang

Beliau berkata seramai 13 orang daripada mereka menerima rawatan di Hospital Gua Musang dan dua daripadanya yang kritikal dihantar ke Hospital Kuala Krai.

Katanya, mereka yang lain menerima rawatan di Klinik Kesihatan Aring 1 dan Klinik Kesihatan Chiku 3 sebagai pesakit luar.