Remaja pancitkan semua tayar kereta ibu ditahan

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasa Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah, Superintendan Chuah Seong Lim berkata, remaja perempuan berusia 19 tahun dari Kuala Nerang itu ditahan kira-kira jam 12.45 tengah hari ketika rondaan cegah kemalangan.

PADANG TERAP – Seorang remaja perempuan yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes khianat memecahkan cermin dan memancitkan semua tayar kereta milik ibunya ditahan dalam Ops Selamat 15/2019 di Jalan Perik, Kuala Nerang semalam.

Sinar Harian melaporkan, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasa Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah, Superintendan Chuah Seong Lim berkata, remaja perempuan berusia 19 tahun dari Kuala Nerang itu ditahan kira-kira jam 12.45 tengah hari ketika rondaan cegah kemalangan.

Menurut beliau, Pasukan Pemantauan Ops Selamat Zon Utara JSPT IPK Kedah diketuai Asisten Superintendan Meor Amir Meor Mohd Khalil mendapati kereta dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum menahan remaja itu.

“Ketika rondaan, kita mendapati kenderaan jenis Perodua Kancil warna merah hati dipandu dalam keadaan mencurigakan remaja perempuan itu.

“Pada mulanya, pihak polis hanya ingin mengeluarkakan saman atas kesalahan tiada lesen memandu terhadap remaja yang bekerja sebagai pelayan pusat hiburan di Alor Setar itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya mendapati remaja itu memiliki rekod ‘Orang Dikehendaki’ bersangkut kes di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat selepas semakan melalui aplikasi MCops OKS.

Menurut Seong Lim, laporan polis berhubung kes khianat berkenaan telah dilakukan pada 25 Februari lepas.

“Susulan itu, remaja berkenaan ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk tindakan lanjut selepas penerangan sebab-sebab tangkapan dimaklumkan,” katanya.