Amnesty International Malaysia harap hukuman mati mandatori dimansuhkan

Pada 2018 Malaysia menduduki tangga keempat tertinggi menjatuhkan hukuman mati selepas China, diikuti Bangladesh dan Pakistan.

Cadangan memansuhkan hukuman mati diharap dapat dibawa ke Parlimen yang akan bersidang, bulan depan.

Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia, Shamini Darshni Kaliemuthu berkata, ini termasuklah menjatuhkan semula hukuman lain terhadap 1175 banduan akhir yang kini menunggu tempoh pelaksanaan hukuman mati.

“Sudah 40 tahun Amnesty berjuang dan membuat kajian mengenai hukuman mati mandatori. Malah, ada banyak negara yang telah melaksanakan pemansuhan secara berperingkat.

“Sekiranya kerajaan membahaskan cadangan ini di Parlimen dan seterusnya melaksanakannya, besarlah harapan kami agar hukuman mati mandatori di negara ini dimansuhkan terus.

“Ini juga merupakan satu manifesto PH untuk memansuhkan hukuman tersebut” katanya kepada media, semalam.

Beliau ditemui pada program Forum Menghapuskan Hukuman Mati di Pusat Khidmat Komuniti ADUN Semambu, Kuantan.

Shamini berkata, terdapat  11 akta dengan 33 kesalahan di negara ini yang memperuntukkan hukuman mati dan Malaysia melaksanakan kaedah gantung.

Kaedah lain digunakan adalah seperti pancung kepala di Arab Saudi; tenaga elektrik di Amerika Syarikat dan suntikan seperti China. Manakala negara lain yang memilih kaedah ialah Singapura, Iran dan Egypt.

Selain Malaysia, negara Asia Pasifik yang melaksanakan hukuman mati mandatori ialah Afghanistan, China, Jepun dan North Korea.

“Hukuman gantung sampai mati di Malaysia dibawa ketika era penjajahan British. Banyak negara koloni di Afrika dan Asia yang ada hukuman gantung legasi kolonial.

“Amnesty bertindak melakukan kajian dengan mengambilkira pelbagai maklum balas, termasuk dari banduan, ahli keluarga mangsa bunuh dan keluarga banduan serta badan bukan kerajaan,” katanya.

Beliau turut mendakwa bahawa tiada kajian yang boleh membuktikan perlakuan jenayah menurun kerana adanya hukuman mati.

Pada 2018 Malaysia menduduki tangga keempat tertinggi menjatuhkan hukuman mati selepas China, diikuti Bangladesh dan Pakistan.

Berdasarkan rekod tahun lalu, Amnesty mendedahkan jenayah berkaitan dadah mencatatkan angka tertinggi dihukum mati di Malaysia iaitu 72 kes, diikuti bunuh (25 kes), senjata api (2), culik dan bunuh (2) dan lain lain (1).

Shamini berkata, hasil kajian Amnesty juga mendapati daripada keseluruhan banduan yang dihukum mati, 89 peratus daripadanya adalah lelaki, manakala 11 peratus perempuan dengan
56 peratus warga Malaysia manakala 44 peratus lagi bukan warganegara.

“Banduan ahir paling lama dipenjarakan di Malaysia ialah 38 tahun. Mereka yang melakukan jenayah berat bersabit hukuman mati mandatori ini majoritinya adalah pekerja buruh iaitu 126 kes;  tiada kerja tetap 276 kes dan penganggur, 164 kes.

“Selebihnya yang juga mencatat angka tinggi adalah golongan pelajar seramai 58 kes dan pemandu 57 kes. Tidakkah anda melihat bahawa golongan manakah yang menjadi mangsa dalam pelaksanaan hukuman mati ini?,” akhirinya.