Bukit Fraser tawar lapan trek uji ketahanan pendaki

Dikenali sebagai Little England of Malaysia, Bukit Fraser juga memiliki tarikan lain terutama sebagai tempat memerhati burung yang turut menarik kunjungan pelancong luar negara dan bangunan unik yang dipengaruhi binaan era kolonial Inggeris.

Kesegaran udara Bukit Fraser di Pahang sentiasa menggamit pengunjung, tidak kira warga tempatan atau asing yang inginkan percutian secara santai, sambil menikmati keindahan alam semula jadi serta flora dan fauna yang masih terpelihara.

Dikenali sebagai Little England of Malaysia, Bukit Fraser juga memiliki tarikan lain terutama sebagai tempat memerhati burung yang turut menarik kunjungan pelancong luar negara dan bangunan unik yang dipengaruhi binaan era kolonial Inggeris.

Berita Harian yang memetik Bernama melaporkan, bukit yang diambil nama sempena pengembara British, iaitu Louis James Fraser itu juga kini menjadi tumpuan peminat aktiviti mendaki dan rentas hutan khususnya dari sekitar Lembah Klang, berikutan kedudukan yang bersempadan dengan pekan Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Terdapat lapan trek yang menguji ketahanan mental dan fizikal pendaki antaranya Pine Tree Trail sejauh 5.5 kilometer (km), Maxwell Trail (1.8km), Bishop Trail (1.5km), Rompin Trail (500 meter), Kindersley Trail (300 meter), Hemmant Trail (1km), Abu Suradi Trail (500 meter) dan Mager Trail (350 meter).

Namun, laluan paling mencabar tentulah Pine Tree, Twin Peak dan Gunung Semangkok yang menuntut ketahanan fizikal pendaki.

Seorang pendaki tegar, Nik Musfirah Filzah Nik Man, 28, dari Sentul, Kuala Lumpur meneroka buat pertama kali trek Pine Tree Trail bersama lebih 100 pendaki yang lain semasa sambutan 100 tahun Bukit Fraser baru-baru ini.

Mengakui trek Pine Tree bukan bersifat ‘santai’, jururawat di klinik kesihatan di Kuala Lumpur itu berkata, pendaki diperlukan menggunakan kekuatan tangan terutama bagi melepasi cerun tegak menggunakan tali sebelum sampai ke puncak Pine Tree pada ketinggian 1,448 meter dari aras laut.

“Namun bagi saya, itu satu kepuasan. Selain dapat meneroka trek ini, lokasi yang tidak jauh dari tempat tinggal saya juga memudahkan untuk saya sampai ke sini,” katanya yang aktif dengan aktiviti lasak itu sejak empat tahun lalu.

ANTARA pendaki yang mengikuti program sambutan 100 tahun Bukit Fraser baru-baru ini. – Foto Muhd Asyraf Sawal

Nik Musfirah pernah menyertai beberapa misi pendakian bersama-sama warga media Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia seperti Annapurna Base Camp, Nepal dua tahun lalu, Gunung Pulag di Filipina dan Gunung Tallang di Sumatera, Indonesia.

Suri rumah, Suhailah Abdul Rahim, 44, dari Shah Alam, pula berpeluang meneroka trek Abu Suradi sejauh 500 meter yang lebih santai dan pendek, berbanding trek Pine Tree, bersama anggota keluarga pada hujung minggu.

“Bagi warga kota yang sering dihambat waktu, tetapi inginkan gaya hidup yang lebih sihat sambil menikmati kesegaran udara, Bukit Fraser destinasi yang tepat. Hanya dua jam pemanduan dari Shah Alam jika mengikut laluan Kuala Kubu Bharu dan kita boleh pilih untuk perjalanan harian atau bermalam,” katanya.

Penolong Kanan Penguasa Bomba dan Ketua Seksyen Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) Negeri Pahang, Muhamad Haziq Hazmi berkata, langkah keselamatan untuk pendaki yang paling utama ialah perlu bergerak dalam kumpulan dan sentiasa berpasangan.

“Pastikan trekking atau ‘hiking’ pada jalan di atas rintis sedia ada. Jangan sekali melalui jalan atau rintis yang tiada kesan laluan berjalan. Pelancong yang menginap di hotel, maklumkan kepada hotel manakala yang tidak menginap maklumkan kepada balai polis,” katanya kepada Bernama.

Beliau turut menasihatkan pendaki agar merancang perjalanan dengan betul serta membawa bekalan makanan dan minuman secukupnya, selain memastikan aktiviti pendakian tamat sebelum hari gelap, dan jika terpaksa meneruskan perjalanan, mereka harus bergerak dalam kumpulan.

“Pastikan juga pendaki menyimpan nombor telefon yang mudah dihubungi jika berlaku kecemasan seperti nombor balai bomba dan penyelamat yang berhampiran atau balai polis bagi memudahkan proses mencari dan menyelamat,” katanya. – BERNAMA