Ular tedung selar panjang 16 kaki masuk kedai

Ular tersebut yang dianggarkan seberat tujuh kilogram bagaimanapun berjaya ditangkap seorang penyelia kebun kelapa sawit, Shafiq Zulkifli, 23, yang dikenali penduduk sekitar Pekan sebagai 'penjinak ular'.

Sebuah kedai di Kampung Permatang Pinang di Merchong, Pekan, semalam menerima ‘pelanggan’ tidak diundang iaitu ular tedung selar sepanjang 4.8 meter (16 kaki). 

Ular tersebut yang dianggarkan seberat tujuh kilogram bagaimanapun berjaya ditangkap seorang penyelia kebun kelapa sawit, Shafiq Zulkifli, 23, yang dikenali penduduk sekitar Pekan sebagai ‘penjinak ular’.

Shafiq yang sudah lima tahun ‘berjinak’ dengan ular berkata kerja menangkap reptilia itu dilakukan di bawah pengawasan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Nenasi.

“Saya dimaklumkan oleh pemilik kedai dan pihak bomba berhubung penemuan ular itu yang berada di sebalik rak sekitar 12 tengah hari.

“Ular itu didapati tidak melawan mungkin kerana dipercayai baru bersalin kulit kerana kulitnya yang masih cantik dan tiada kesan calar,” katanya.

Shafiq berkata dia mengambil masa selama lima minit untuk menangkap ular itu dengan menggunakan tangan sebelum dimasukkan ke dalam guni.

Ular itu, menurutnya dilepaskan di habitat asal haiwan tersebut di Nenasi.

— BERNAMA