Henti sebar video fitnah aksi intim mirip menteri : Saifuddin

Saifuddin yang juga Menteri Luar turut menyifatkan penyebaran klip video berkenaan sebagai amalan politik kotor yang tidak akan membawa negara ini bergerak ke hadapan.

Penyebaran klip video intim mirip seorang menteri yang hangat diperkatakan umum sejak semalam perlu dihentikan segera demi membanteras gejala fitnah yang berlarutan.

Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH), Datuk Saifuddin Abdullah berkata, fitnah itu bukan sahaja merupakan satu dosa malah perbuatan berkenaan tidak menguntungkan mana-mana pihak.

Saifuddin yang juga Menteri Luar turut menyifatkan penyebaran klip video berkenaan sebagai amalan politik kotor yang tidak akan membawa negara ini bergerak ke hadapan.

“Kita dalam PH berusaha untuk menegakkan amalan politik baharu yang antara lain bermakna politik hikmah dan bukannya politik fitnah.

“Perkara ini perlu dihentikan segera kerana membawa kita ke dalam alam fitnah yg tiada henti sebaliknya harus tumpu perhatian membangunkan negara dan beri hikmah pada rakyat,” katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ahli Parlimen dan PH Indera Mahkota di Dewan Atabara di Indera Mahkota, Kuantan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota mengulas mengenai klip video intim yang didakwa melibatkan seorang pemimpin kanan parti politik yang tular sejak semalam.

Hari ini, individu yang didakwa bersama lelaki mirip menteri Kabinet tersebut dalam video berkenaan dilaporkan tampil membuat pengakuan bersumpah bahawa dia terlibat dalam aksi itu.

Mengaku namanya sebagai Haziq Aziz, lelaki itu mendakwa video tersebut dirakam pada 11 Mei lalu di sebuah bilik hotel di Sandakan, Sabah.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dikaitkan sebagai pelaku dalam klip video berkenaan kemudian menafikan sekeras-kerasnya penglibatannya  dan menyifatkannya sebagai satu tuduhan jahat dan kejam.

Tidak lama selepas penafian itu, pihak tidak dikenali menyebarkan klip video ‘bahagian kedua’ skandal seks yang didakwa melibatkan Mohamed Azmin.

Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan pengumuman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia yang kelihatan mengambil tindakan segera dalam isu berkenaan termasuk melakukan siasatan dan lain-lain.