Kerajaan bantu dapatkan khidmat guaman

Enam rakyat Malaysia ditahan di dalam kapal layar Carron Layner, yang berlabuh di Dermaga Batavia Sunda Kelapa, Jakarta Utara, Selasa lalu kerana disyaki mengedar dadah.

Kerajaan akan membantu bagi mendapatkan khidmat guaman kepada enam rakyat Malaysia yang berdepan tindakan undang-undang di Indonesia kerana disyaki mengedar dadah, baru baru ini.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ia tanggungjawab kerajaan menerusi Pejabat Perwakilan Malaysia (Malawakil) dan ia akan bertindak mengikut standard of prosedur (SOP) yang ditetapkan.

“Kebiasaan bila ada kes penahanan rakyat Malaysia di luar negara, Melawakil akan mengikuti kes itu dan cuba membantu mengikut SOP.

“Sama ada bersalah atau tidak itu tanggungjawab kita sediakan khidmat guaman di samping menghormati perundangan negara tersebut,” katanya ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ahli Parlimen dan Pakatan Harapan Indera Mahkota, Kuantan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan enam warga Malaysia yang ditahan di dalam kapal layar Carron Layner, yang berlabuh di Dermaga Batavia Sunda Kelapa, Jakarta Utara, Selasa lalu.

Mereka ditahan kerana disyaki terbabit dalam penyeludupan dadah jenis syabu seberat 37 kilogram.

Laporan menyebut, kapal itu dipercayai belayar dari Johor ke Jakarta pada hari yang sama.

Lima suspek rakyat Malaysia yang ditahan itu berasal dari Johor, manakala seorang lagi berasal dari Perak.

Semua suspek ditahan polis dan kes itu disiasat di bawah Pasal 114 Undang-Undang Nombor 35 Tahun 2019 berkaitan Dadah, dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati.