Empat maut dalam kemalangan babitkan tiga kenderaan

Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri, Nor Hisham Mohammad berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 petang membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Viva dan dua buah lori.

BERA: Empat termasuk seorang kanak-kanak perempuan maut dalam kemalangan membabitkan dua lori dan sebuah kereta di Jalan Besar Kemayan-Felda Bukit Mendi di sini pada Ahad.

Astro Awani melaporkan, Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri, Nor Hisham Mohammad berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 petang membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Viva dan dua buah lori.

“Kesemua mangsa yang maut iaitu seorang lelaki dewasa, dua perempuan dewasa dan kanak-kanak itu dari kereta Perodua Viva,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, seramai lima anggota dan seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Triang bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang awam.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami mendapati dua buah lori dan kereta Viva terlibat dalam kemalangan itu.

“Lori (datang) dari arah simpang jalan besar Kemayan menghala ke Felda Bukit Mendi manakala kereta itu dari arah tanah rancangan terbabit menghala ke simpang berkenaan,” katanya.

Menurut beliau, kesemua mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh anggota bomba menggunakan alat pemotong.

“Mayat mangsa sudah diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke mayat dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk bedah siasat,” katanya.