Yamaha Y15ZR Ultraman sedia untuk ditempah, terhad 100 unit

Model yang terhad 100 unit ini dibawakan Welly Assorted Sdn Bhd hasil kerjasama dengan Taigaco Sdn Bhd, iaitu syarikat pemegang lesen Karakter Ultraman Klasik Asli di Malaysia, Singapura, Filipina, Vietnam, Indonesia dan Brunei.

Peminat tegar Y15ZR aka YSuku dan adiwira dari Jepun, Ultraman pasti tidak sabar mahu memiliki model edisi terhad, Ultraman Y15ZR yang baru saja dilancarkan ke pasaran tempatan.

Menurut portal Pandu Laju, model yang terhad 100 unit ini dibawakan Welly Assorted Sdn Bhd hasil kerjasama dengan Taigaco Sdn Bhd, iaitu syarikat pemegang lesen Karakter Ultraman Klasik Asli di Malaysia, Singapura, Filipina, Vietnam, Indonesia dan Brunei.

Model Ultraman Y15ZR  ini dikeluarkan eksklusif untuk pasaran Malaysia sahaja dan didatangkan dengan nombor siri khas, lencana edisi terhad, grafik berus angin (airbrush) penuh, pelindung enjin dan radiator, termasuk tuil klac dan brek Rapido.

Selain itu, pemilik Ultraman Y15ZR juga akan menerima sijil pengesahan, lencana edisi terhad tambahan, gambar eksklusif belakang tabir dan kemeja-T berserta poskad Ultraman.

Semua ini hanya dijual di Welly Assorted Sdn Bhd sahaja pada harga RM12, 688.

Tempahan awal kini dibuka dan kumpulan pertama Ultraman Y15ZR akan mula dihantar kepada pelanggan bermula Julai ini.

Penampilan kapcai versi Ultraman ini didatangkan dengan kemasan grafik merah dan warna badan perak mengikut sut adiwira itu manakala bahagian rim serta pemegang belakang turut disembur cat merah.