Kerajaan Persekutuan agih 50 peratus hasil cukai pelancongan

Pengagihan hasil cukai itu akan dibuat pada suku pertama setiap tahun yang mana, untuk tahun ini akan diagihkan pada suku pertama tahun hadapan. - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng

Kerajaan Persekutuan berjanji akan mengagihkan hasil cukai pelancongan sebanyak 50 peratus kepada semua negeri setiap tahun.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pengagihan hasil cukai itu akan dibuat pada suku pertama setiap tahun yang mana, untuk tahun ini akan diagihkan pada suku pertama tahun hadapan.

Menurut laporan Sinar Harian, Pulau Pinang telah menerima RM10.98 juta pada Mac lalu bagi agihan hasil cukai pelancongan untuk tahun 2018 manakala hasil tahun ini akan dibayar pada suku pertama tahun depan.

“Kita akan teruskan pengagihan hasil cukai pelancongan kepada negeri-negeri setiap tahun iaitu pada suku pertama. Apa yang mereka kutip, mereka akan terima semula sebanyak 50 peratus.

“Kita tepati janji, bukan seperti kerajaan lama. Mereka janji nak bagi, tapi tak bagi. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bukan sahaja agih ketika kita memerintah, malah hasil ketika BN pun kita agihkan yang mana mereka berjanji nak bayar, tetapi tak bayar.

“Ini janji kita, setiap tahun akan bayar agihan hasil cukai pelancongan kepada setiap negeri sebanyak 50 peratus seperti yang dijanjikan,” katanya kepada media tadi.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri DAP Pulau Pinang di sini tadi.

Terdahulu, Guan Eng mengesahkan agihan 50 peratus hasil cukai pelancongan bagi 2018 sudah disalurkan kepada kerajaan negeri seperti dijanjikan.

Beliau berkata, agihan 50 peratus cukai pelancongan itu membabitkan RM67.74 juta.

Guan Eng berkata, kerajaan negeri yang menerima 50 peratus hasil cukai pelancongan adalah Sabah sebanyak RM12.67 juta, Pulau Pinang (RM10.98 juta), Selangor (RM10.3 juta), Johor (RM7.99 juta), Pahang (RM7.86 juta), Melaka (RM5.35 juta), Kedah (RM5.08 juta).

Diikuti Sarawak (RM2.58 juta), Negeri Sembilan (RM2.47 juta), Perak (RM1.25 juta), Terengganu (RM1.03 juta), Kelantan (RM150,000) dan Perlis (RM20,000).