Pahang akan usir, roboh kebun haram

Penguatkuasaan tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan mendahulukan pengusiran di lokasi skala besar yang mengakibatkan keburukan kepada ekosistem dan alam sekitar. - Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Nazri Ngah

Kerajaan Pahang akan melaksanakan penguatkuasaan tanah yang diusahakan secara haram di negeri ini secara total, tahun ini.

Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Nazri Ngah berkata, ini termasuklah mengusir dan meroboh kebun haram di kawasan kawasan Felda dan perkampungan tradisional.

Menurutnya, penguatkuasaan tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan mendahulukan pengusiran di lokasi skala besar yang mengakibatkan keburukan kepada ekosistem dan alam sekitar.

“Baru baru ini kerajaan melaksanakan operasi besar besaran di kebun haram Cameron Highlands. Susulan daripada itu, kerajaan negeri bersama Jabatan Hutan dan disokong oleh Kerajaan Pusat, akan melaksanakan operasi tersebut di seluruh Pahang, secara berperingkat.

“Kerajaan negeri juga telah membeli mesin mesin dan jentera melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang untuk menjalankan operasi operasi itu. Sebelum ini kita sewa. Memandangkan operasi ini akan dibuat besar-besaran jadi untuk kurangkan kos, kita beli jentera sendiri,” katanya.

Menurutnya usaha kerajaan negeri dan kerajaan pusat dalam melaksanakan operasi bersepadu ini akan berterusan dari semasa ke semasa kerana penerokaan tanah haram amat merugikan kerajaan negeri dari segi hasil dan pendapatan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma) 2019, di Dewan Jubli Perak, Kuantan, semalam.

ADUN Pulau Tawar yang juga Pengerusi Pembangunan Koperasi itu merupakan ahli Kosma yang turut dilantik mewakili Kerajaan Pahang sebagai pemerhati mesyuarat Agung.

Terdahulu, dalam ucaptama Pengerusi Kosma, Datuk Mokhtar Mat Salleh berkata, Kosma telah memohon peruntuan tanah seluas 500 ekar di Sungai Jerik Maran untuk diusahakan.

Diminta mengulas perkara itu, Nazri berkata, tanah tanah tersebut kebanyakannya telah diusahakan secara haram dengan kewujudan kebun kebun kelapa sawit dan durian.

“Tanah tanah itu terletak di bawah Dun Kuala Sentul dan sempadan dengan Pulau Tawar. Saya tahu mengenainya dan tindakan mengenai permohonan itu sedang diuruskan.

“Kerajaan negeri, Kosma dan peneroka peneroka mungkin akan duduk berbincang satu mekanisme yang akan mewujudkan situasi menang menang. Agar memberi manfaat kepada semua pihak.

“Soal kelulusan, semua tanah tanah kosong negeri ini di bawah bidang kuasa Menteri Besar dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (PSK). Apabila MB dah minit, baru proses. Sama ada MB dan PSK nak beri, terpulang tiada halangan. Dulu pun era 70an kerajaan pernah bantu koperasi,” katanya.