Video seks: Rais Yatim yakin polis telah lapor hasil siasatan awal kepada kerajaan

Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Rais Yatim yakin pihak polis telah melaporkan siasatan awal terhadap kerajaan selepas menyoal siasat Ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mengaku terlibat.

Kerajaan perlu memikirkan langkah seterusnya selepas dalang video lucah yang didakwa melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali dikenal pasti, kata Rais Yatim.

Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan itu berkata, beliau yakin pihak polis telah melaporkan siasatan awal terhadap kerajaan selepas menyoal siasat Ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mengaku terlibat.

“Saya tak fikir PDRM (Polis Diraja Malaysia) ambil masa begitu panjang.

“Tentu sekali PDRM akan memaklumkan hasil siasatan awalnya kepada pihak berkuasa iaitu kerajaan.

“Jadi dengan itu, saya yakin bahawa perdana menteri atau menteri dalam negeri akan peroleh laporan itu atau laporan lisan daripada PDRM dan dari situ perlu dibuat rumusan apakah langkah berikutnya harus diambil,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Rais diminta mengulas mengenai hantaran Facebook beliau semalam, yang berkata PDRM telah memaklumkan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai dalang di sebalik video lucah tersebut.

Antara lain, hantarannya menyebut tentang fitnah yang sering dijadikan senjata bagi menjatuhkan pemimpin di Malaysia.

“Kalau saudara tahu apa Haziq Aziz beritahu PDRM tentang siapa yang bagi ‘petik api untuk membakar Azmin,’ kancah politik Malaysia akan terus menggelegak.

“PDRM tentu dah beritahu PM siapa dalang di sebalik tabir Haziq. Mari bersama bersihkan persada politik tanah air. Naikkan orang yang baik-baik,” katanya tanpa merujuk mana-mana pihak secara khusus.

Malaysiakini melaporkan, ditanya berkenaan hantaran itu, Rais enggan mengulas lanjut dan menyerahkan orang ramai untuk membuat penilaian sendiri.

“Saya tak ada buat apa-apa penjelasan…Baca dari situ dan buat rumusan. Itu hak saya di Facebook,” katanya lagi.

Beliau juga menafikan merujuk mana-mana pihak tertentu dalam hantaran itu.

“Tidak (merujuk kepada sesiapa). Tapi saya yakin PDRM sudah mengetahui siapa, setelah Haziq itu diwawancara selepas (penahanan) di KLIA.

“Dan saya yakin apa yang dijelaskan oleh Haziq dalam siasatan itu PDRM sudah pun maklum,” kata Rais lagi.

Selasa lalu, tiga klip video memaparkan seorang lelaki yang didakwa Haziq sebagai Azmin mula tersebar di media sosial, yang turut disusuli pengakuan daripada Haziq sehari selepas penyebaran video tersebut.

Azmin menafikannya dan mengancam mengambil tindakan undang-undang.

“PDRM saya yakini sudah mengetahui siapa, setelah Haziq itu diwawancara dalam keadaan selepas (penahanan) di KLIA.

“Dan saya meyakini bahawa apa yang dijelaskan oleh Haziq dalam siasatan itu PDRM sudah pun maklum,” kata Rais lagi.

Jumaat lalu, polis menahan Haziq di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) kira-kira jam 5.30 petang yang dipercayai akan berlepas ke Manila, Filipina.

Bagaimanapun Haziq kemudian dibebaskan dengan jaminan polis pada Sabtu.