Cedera diserang beruk ketika pulang dari rumah terbuka

Dalam kejadian jam 6 petang itu, Nik Muhammad Putra Rafiqi Muhammad Rizaidi, 9, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru berjaya melepaskan diri selepas bertindak menendang beruk itu dengan sekuat hati.

Seorang budak lelaki cedera di kaki dan tangan serta calar di perut akibat diserang seekor beruk ketika pulang dari rumah terbuka jirannya di kampung Pulau Teluk Rejuna, semalam.

Sinar Harian melaporkan, dalam kejadian jam 6 petang itu, Nik Muhammad Putra Rafiqi Muhammad Rizaidi, 9, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru berjaya melepaskan diri selepas bertindak menendang beruk itu dengan sekuat hati.

Rafiki yang dalam kesakitan kemudiannya merangkak ke rumah jiran dalam jarak empat meter untuk meminta bantuan.

Sementara itu, ibunya, Nik Fazilah Mohd Nawi, 37, berkata ketika kejadian dia masih lagi berada di dalam rumah jirannya itu untuk beraya.

Katanya, Rafiki meminta diri untuk pulang awal ke rumahnya bersama adiknya, Nik Muhammad Putra Raika, 4, dan dua sepupunya.

Menurutnya, dia tidak mengesyaki apa-apa yang buruk berlaku ketika anaknya melalui jalan itu kerana ketika dia datang tiada beruk di laluan tersebut.

“Disebabkan bising dengan suasana raya, saya tidak dengar jeritan anak yang diserang beruk.

“Sepupunya yang sama usia dengan anak saya terlalu panik hanya mampu melihat anak saya bergelut dengan beruk itu.

“Mujurlah anak saya berjaya melepaskan diri selepas menendang sekuat hati beruk itu untuk menyelamatkan diri,” katanya merupakan guru agama di SK Pulau Beluru di sini.

Menurutnya, beruk itu ditambat tetapi penjaganya tiada di rumah kerana pulang ke kampung halamannya sejak raya kedua (6 Jun) lalu.

“Ketika kejadian beruk itu bersembunyi di atas pokok dan sebaik anak saya lalu, beruk itu terus menerkamnya.

“Mungkin anak saya tak nampak, sebab itu dia kena serang, ” katanya.

Menurutnya, anaknya kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan akan dimasukkan ke dewan bedah esok untuk rawatan kecederaan itu.