Guru kaunseling ditikam pelajar tingkatan 5

Pelajar berusia 17 tahun itu dikatakan telah masuk ke dalam bilik tersebut sebelum menunggu mangsa masuk.

Seorang pelajar tingkatan lima ditahan polis kerana menikam guru kaunselingnya dalam kejadian di sebuah sekolah di Sungai Manggis, Banting, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, kejadian itu berlaku di bilik pembantu warden sekolah berkenaan pada kira-kira jam 8.20 malam.

Sinar Harian melaporkan, Fadzil berkata, pelajar berusia 17 tahun itu dikatakan telah masuk ke dalam bilik tersebut sebelum menunggu mangsa masuk.

“Apabila mangsa masuk dan sedang membuka kasut, suspek bertindak menikam mangsa dan berlaku pergelutan. Mangsa ditikam beberapa kali di bahagian bahu oleh suspek sebelum melarikan diri.

“Sebilah pisau masih tertanam pada bahu mangsa sebelum mangsa dikejarkan ke Hospital Banting untuk rawatan,” katanya.

Beliau berkata, pelajar terbabit telah ditangkap sejurus selepas itu.

Katanya, motif kejadian adalah tekanan serta dendam terhadap guru berusia 33 tahun itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.