Lepas tawaran kerja untuk jaga bapa saudara

Zulkufli Abd Rahman, 78, ibarat bapa kepadanya kerana menjaga dia dan adik-beradiknya yang yatim piatu sejak kecil.

Seorang bekas penuntut Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) sanggup melepaskan tawaran kerja demi menjaga bapa saudaranya yang kudung kaki kanan sejak 13 tahun lalu.

Zulkufli Abd Rahman, 78, ibarat bapa kepada kerana menjaga dia dan adik-beradiknya yang yatim piatu sejak kecil.

Sinar Harian melaporkan, Nur Syurah Mohd Nor Azlan, 21, dari Kampung Sungai Rabit di sini berkata, dia membuat keputusan itu selepas tamat pengajian pada Mei lalu kerana menganggap jasa bapa saudaranya tidak ternilai.

Menurutnya, dia bersama kakaknya Nur Syuhada, 24, Mohd Shahrul, 27, Nur Syamira, 24, Mohd Syuhairi, 22 dan Mohd Syahrizam, 19, dijaga oleh Zulkulfi sejak ibu bapa mereka meninggal dunia.

“Saya mendapat tawaran kerja di Kuantan tetapi biarlah saya menjaga Pak cik sehingga benar-benar sihat,” katanya.

Bagaimanapun, anak kelima daripada enam beradik itu merayu bantuan kaki palsu untuk bapa saudaranya bagi menggantikan peralatan itu yang rosak enam tahun lalu.

“Kami buntu bagaimana nak cari duit bagi mendapatkan kaki palsu baharu. Pakcik sudah banyak berkorban sehingga sanggup membujang menjaga kami. Inilah masanya saya membalas jasa Pak cik,” katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Pemegang Diploma Ukur Tanah itu berkata, bapanya Mohd Nor Azlan Mohd Nasir meninggal pada 2000 akibat penyakit jantung manakala ibunya, Rosliah Abdul Rahman pergi meninggalkan mereka pada 2006 kerana barah otak.

Sementara itu, Zulkufli berkata, dia terpaksa mengubah suai sendiri kaki palsunya tetapi mengakui kurang selesa dan terpaksa menanggung kesakitan kerana semakin longgar.

“Tapaknya juga sudah patah. Jadi saya menggunakan tiub tayar untuk melindungi tapaknya.Tali pinggang pula saya guna untuk mengetatkan kaki palsu,” katanya.

Bekas tukang rumah itu berkata, kakinya terpaksa dipotong selepas komplikasi kencing manis.

“Saya harap mendapat kaki palsu baharu yang lebih ringan tetapi kosnya mungkin tinggi.

“Saya pernah diminta untuk mendapatkan senarai harga kaki palsu baharu tetapi saya tidak tahu prosesnya,” katanya yang menerima RM350 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Nur Syurah boleh dihubungi di talian 013-8706787 dan sumbangan kepada Zulkufli boleh disalurkan ke akaun Maybank 15605730358.