Cech kembali ke Chelsea sebagai penasihat

Cech akan memainkan peranan sebagai perantara antara pengurus baharu kelab dan pengarah, Marina Granovskaia, selepas jawatan tersebut dibiarkan kosong sejak Michael Emenalo meletakkan jawatan selaku pengarah teknikal, hampir dua tahun lalu.

LONDON – Petr Cech akan kembali ke pangkuan Chelsea selaku penasihat selepas bersara daripada tugasnya sebagai penjaga gol, bulan lalu, pada usia 37 tahun.

Utusan melaporkan, Cech akan memainkan peranan sebagai perantara antara pengurus baharu kelab dan pengarah, Marina Granovskaia, selepas jawatan tersebut dibiarkan kosong sejak Michael Emenalo meletakkan jawatan selaku pengarah teknikal, hampir dua tahun lalu.

“Petr Cech kembali ke Chelsea sebagai Penasihat Teknikal dan Persembahan. Fokus tugas tersebut ialah memberikan nasihat tentang semua masalah bola sepak dan prestasi di seluruh kelab serta menanamkan dan memudahkan hubungan antara pasukan lelaki dan akademi kami.

“Selain itu, tugas itu juga perlu memastikan kesemua jabatan terlibat memberikan sokongan dan bekerjasama secara berkesan,” kata Chelsea dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Cech telah memenangi 13 gelaran utama, termasuk empat trofi Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara dalam tempoh 11 tahun kariernya yang cemerlang bersama Chelsea sebelum menyertai Arsenal pada 2015.

Perlawanan terakhir bekas pemain antarabangsa Republik Czech itu sebelum bersara ialah sewaktu Arsenal tewas 1-4 kepada Chelsea dalam perlawanan akhir Liga Europa, Mei lalu.

“Saya berasa sangat dihargai kerana diberi peluang menyertai Chelsea FC sekali lagi dan dapat membantu pasukan membentuk persekitaran terbaik dalam usaha meneruskan kegemilangan kelab sepanjang tempoh 15 tahun.

“Saya tidak sabar untuk mengharungi cabaran baharu ini dan berharap saya dapat memanfaatkan pengetahuan serta pengalaman saya dalam bola sepak bagi membantu pasukan mencapai lebih banyak kejayaan pada masa depan,” kata Cech.

Cech bakal menjalinkan kerjasama dengan bekas rakan sepasukannya, Frank Lampard yang dijangka kembali ke Stamford Bridge sebagai pengurus baharu Chelsea selepas Maurizio Sarri meninggalkan kelab untuk menyertai Juventus. – AFP