Laporan polis dakwa adik presiden MIC curi lori

"Pada 2016, saya menyewa tapak daripada Balakumaran yang lebih dikenali sebagai ‘Saroja Balan’ untuk parkir lori-lori saya selepas peniagaan saya terjejas teruk.

Seorang pemilik syarikat logistik K Jayaenthran mendakwa adik presiden MIC SA Vigneswaran mencuri sembilan buah lori dan alat-alat ganti kenderaan miliknya dan menjualnya dengan harga RM1.5 juta.

Malaysiakini melaporkan, “Pada 2016, saya menyewa tapak daripada Balakumaran yang lebih dikenali sebagai ‘Saroja Balan’ untuk parkir lori-lori saya selepas peniagaan saya terjejas teruk.

“Saya membawa masuk sebanyak 113 lori pelbagai jenis. Tetapi, ketika saya pindah balik lori-lori itu ke tapak baru pada Mei 2018, saya mendapati sembilan lori milik saya ‘hilang’.

“Saya percaya dia selaku pemilik tapak tersebut ‘mencuri’ lori-lori saya termasuk alat-alat ganti dan menjual tanpa pengetahuan saya,” kata pemilik syarikat Sri Muda Auto Works Sdn Bhd.

Dalam sidang media di Klang hari ini, Jayaenthran berkata dia telah membuat laporan polis di balai polis Klang pada 21 Mei lalu dan menyerahkan memorandum di ibu pejabat polis kontinjen Selangor semalam.

Jayaenthran mengakui individu tersebut yang juga berasal dari Klang merupakan kawan baik satu ketika.

Dia berkata terdapat pertikaian berkaitan berkaitan kadar sewa tapak tempat menyimpan lori-lorinya itu.

Katanya, pada April 2018, peguam Balakumaran memintanya mengalihkan kesemua lorinya di tapak tersebut atas alasan dia sudah ada penyewa baru.

“Ketika saya alihnya lori-lori pada Mei, saya mendapati hanya 99 lori sahaja berada di sana. 

“Sembilan hilang, manakala empat lagi (kontena sahaja) masih tidak dapat dikeluarkan.

“Saya mendapati lori-lori dipotong dan dijual di kedai besi buruk oleh Balakumaran dan pekerja dia.

“Selain badan lori dan kepala, alat-alat ganti seperti bateri, gear box, dashboard turut dibuka dan dijual.

“Saya percaya ini adalah satu kecurian selepas dia mencabar saya untuk membuat apa saja yang boleh dan dia tidak akan memberi sebarang ganti ruginya,” tegas Jayaenthran lagi.

Akan saman malu, kata peguam

Sementara itu, peguam Balakumaran, Murali Velayutham ketika dihubungi menafikan tuduhan tersebut dan menyifatkannya sebagai fitnah semata-mata.

“Kami menolak sekeras-kerasnya tuduhan ini. Kami juga telah menghantar notis peguam kepadanya untuk membawa perkara ini ke mahkamah.

“Anak guam saya cuba tolong dia, tapi dia pula membuat fitnah dan tuduhan. Kami nak saman malu beliau dan heret ke mahkamah,” katanya kepada Malaysiakini.

Murali turut mengesahkan bahawa pihaknya juga telah membuat laporan polis balas terhadap Jayaenthran.

“Biar polis buat siasatan secara telus,” tambahnya.