‘Gerun dengar nama air terjun’

Namun bunyi deruan air jernih yang mengalir dan keindahan hutan sekeliling membuatkan hati terasa tenang.

Jika berkunjung ke daerah Rompin, bagi penggemar aktiviti memancing akan mencari lokasi menarik di sungai Rompin atau di perairan lautan Kuala Rompin manakala bagi yang meminati ketenangan kehijauan hutan akan ke Taman Negeri Endau – Rompin.

Mereka yang gemar untuk merasai menu tempatan pula boleh ke Kampung Leban Chondong kerana terdapat medan selera yang menyajikan hidangan enak berasaskan udang galah yang sudah tentu antara buruan utama pemancing di sungai Rompin.

Tidak ramai yang tahu atau pernah sampai ke satu lokasi menarik yang kurang popular terletak di pedalaman Hutan Simpan Lesung yang dikenali sebagai Harimau Berjemur atau digelar penduduk tempatan sebagai ‘Rimau Berjemur’.

Mendengar namanya buat kali pertama tentu sahaja boleh mendatangkan rasa gerun kerana dikaitkan dengan haiwan pemangsa itu selain terletak jauh di kawasan pedalaman dan penempatan penduduk.

Laluan masuk untuk ke lokasi Rimau Berjemur ini boleh melalui jalan balak atau ladang yang terdapat di Muadzam Shah atau Kuala Rompin dan jaraknya tidak jauh beza memakan masa sekitar 2 hingga 3 jam.

Mohd Suhaimi (kanan) membantu kenderaan pacuan empat roda ketika melalui laluan sukar untuk turun ke tapak berkelah di air terjun Rimau Berjemur.

Kenderaan untuk ke sana juga terhad kepada kenderaan lasak seperti pacuan empat roda atau motosikal lasak yang mungkin menjadi antara sebab ia sukar dikunjungi selain memerlukan penduduk tempatan berpengalaman sebagai pemandu arah.

Wartawan Timur Daily yang pernah ke lokasi mengakui tiada apa yang lebih memuaskan bagi peserta ekspedisi apabila tiba di lokasi selepas menempuh pelbagai cabaran bersama rakan-rakan.

Jauh dari sebarang bunyi kenderaan atau diganggu oleh gajet, bukan ngauman harimau atau ketakutan yang menyambut ketibaan sebaliknya bunyi deruan air jernih yang mengalir membuatkan hati terasa tenang.

Kawasan mandi-manda yang tidak jauh dari tapak berkelah di Air Terjun Rimau Berjemur.

Pemandangan sekeliling menghijau dipagari pokok-pokok balak dan renek yang tidak diketahui usianya selain air jeram yang begitu sejuk memberikan rasa yang begitu menyegarkan apabila kaki direndam ke dalamnya.

Menyusur pinggir sungai jeram sejauh kira-kira 100 meter atau lebih sudah tentu memberikan pengalaman baharu sambil menghirup udara segar hingga sampai di lokasi batu hamparan yang juga menempatkan asal usul kisah diberikan nama Rimau Berjemur.

Seorang pengunjung sedang meninjau batu hamparan air terjun di tingkat yang lebih tinggi yang memerlukan pendakian dengan jarak kira-kira 100 meter.

Satu keistimewaan yang disedari sepanjang menyusur hutan di pinggir sungai jeram itu adalah tiada seekor nyamuk yang menggigit dan mengikut cerita pemandu arah, jika tidur di kawasan itu tidak perlukan ubat nyamuk.

Mohd Suhaimi Mohd Idris, 52, berkata, lokasi Rimau Berjemur mula diketahuinya sekitar 1993 melalui cerita yang disampaikan oleh seorang penduduk Orang Asli.

Menurutnya yang juga bertindak sebagai juru pandu arah, rasa ingin tahunya yang tinggi ketika itu selain minat dengan aktiviti lasak di hutan, beliau bersama beberapa rakannya telah measuki Hutan Simpan Lesung melalui jalan balak lama namun gagal menemuinya pada peringkat awal.

“Selepas tiga atau empat kali menunggang motosikal lasak masuk ke Hutan Simpan Lesung dan ada masa terpaksa berpecah dan tidur dalam hutan, baru kami jumpa lokasi Rimau Berjemur, ketika itu memang puas hati.

“Selepas itu kami agak kerap ke sana kerana sudah tahu jalan. Tapi jalan yang dilalui ketika itu sangat berlainan dengan sekarang, masa itu jalan kecil muat untuk motosikal sahaja tapi sekarang sudah besar, pacuan empat roda boleh masuk,” katanya kepada Timur Daily.

Bercerita tentang asal-usul nama air terjun yang unik ini, ia sebenarnya disampaikan dari mulut ke mulut oleh penduduk Rompin tanpa tahu sebab kukuh nama itu diberikan namun bukti yang ditunjukkan dapat memberi sedikit pencerahan.

Mohd Shuhami berkata, kisah asal usul nama Rimau Berjemur yang diketahuinya disebabkan ada batu di kawasan hamparan yang bercorak seakan belang harimau.

Belang pada batu hampar yang dikatakan menyerupai belang harimau dan menjadi asal-usul kisah nama air terjun ini.

Menurutnya, corak itu akan kelihatan lebih jelas sewaktu musim air banyak kerana apabila batu itu dibasahi oleh air, coraknya lebih menonjol seakan belang yang terdapat pada badan harimau sebenar.

“Ketika saya mula sampai di sini dahulu, perkara pertama yang saya lakukan adalah mencari batu yang dikatakan bercorak belang harimau itu bagi melengkapkan misi ke air terjun ini dan temuinya di kawasan batu hamparan.

“Untuk melihat batu bercorak belang harimau ini bergantung pada nasib juga kerana air terjun di sini ada masa airnya tidak banyak terutama pada musim kurang hujan atau kemarau, jadi kena pandai pilih masa untuk ke sini,” katanya.

Bagaimanapun, selama terlibat dengan ekspedisi ke air terjun itu, beliau memberitahu bahawa tidak pernah berlaku kejadian tidak diingini seperti lemas atau sesat melibatkan peserta atau pengunjung di kawasan itu.

Menurutnya, pesanan yang selalu diberikan olehnya dan rakan-rakan kepada orang-orang yang memasuki kawasan air terjun itu supaya menjaga mulut agar tidak celupar atau terlalu galak.

Katanya, mengambil apa-apa seperti batu juga tidak digalakkan dan sebaiknya perlu dielakkan kerana ada yang mengalami mimpi selepas balik hingga perlu masuk semula memulangkan apa yang diambil.

“Jika setakat pergi untuk mandi dan berkelah memang tiada masalah, cuma jaga mulut serta tidak galak sangat.

“Lagi satu elakkan ambil apa-apa kerana bimbang mengalami mimpi dan perlu kembali memulangkan apa yang diambil. Selain itu cuma kena berhati-hati dengan kepala air namun ia berlaku dalam tempoh singkat sahaja,” katanya.

Ditanya tentang binatang buas yang mungkin ada di lokasi, beliau mengakui dulu ada harimau berkeliaran di kawasan itu namun selepas ada kerja pembalakan berhampirannya, tiada lagi pak belang kelihatan.