Jakel: Kami tak ada kuasa persoal sumber dana Najib

Jelas syarikat itu, mereka tidak mempunyai kuasa untuk mempersoalkan sumber dana bagi urus niaga berkenaan.

Syarikat tekstil terkemuka Jakel Trading Sdn Bhd hari ini tampil menjelaskan bahawa urus niaga yang dijalankan mereka dengan Najib Razak adalah bagi kegunaan program amal yang dijalankan bekas perdana menteri dan Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Jelas syarikat itu, mereka tidak mempunyai kuasa untuk mempersoalkan sumber dana bagi urus niaga berkenaan.

“Ingin kami jelaskan bahawa urus niaga terbabit adalah berdasarkan pesanan yang kami terima dari mantan perdana menteri dan juga dari PMO tersebut untuk Jakel membekalkan kain jubah bagi semua program-program amal yang dianjurkan oleh beliau dan PMO,” kata Jakel dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Jakel, pesanan itu termasuk bagi kegunaan imam, tahfiz dan lebih 7,000 masjid di seluruh Malaysia, serta bekalan kain untuk mangsa-mangsa banjir antara tahun 2011 dan 2014.

Jakel membuat kenyataan itu selepas nama syarikat mereka turut tersenarai dalam 41 entiti yang berdepan pemfailan saman pelucutan hak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa menerima dana daripada akaun peribadi Najib.

Malaysiakini difahamkan bahawa bayaran terhadap Jakel melibatkan kira-kira RM23.3 juta.

Bagaimanapun Jakel berkata pihak mereka menerima bayaran tanpa syak wasangka dan menegaskan bahawa transaksi itu berlaku sebelum pihak mereka mengetahui sebarang isu berkaitan dengan 1MDB.

“Pihak Jakel hanya menerima pembayaran setelah kami menyempurnakan penghantaran barangan yang dipesan.

“Segala pembayaran untuk barangan yang dijual dan dihantar, kami terima dengan tanpa prasangka dan kami tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mempersoalkan sumber dana tersebut kecuali sekiranya terdapat bukti yang jelas bahawa dana tersebut adalah diperolehi secara tidak sah.

“Sebarang isu pengubahan wang haram adalah benar-benar tiada dalam pengetahuan pihak kami,” katanya.

Jakel juga menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM bagi membersihkan nama baik mereka.

“Jakel tidak pernah terlibat dalam skim pengubahan wang haram dan tidak akan terbabit dalam apa jua kegiatan seperti itu pada masa akan datang.

“Jakel komited untuk terus menjalankan perniagaannya dengan tatacara yang bertanggungjawab dan kami ingin menekankan bahawa kami amat sedar bahawa tidak ada apa-apa kebaikan daripada amalan perniagaan yang tidak sah dan tidak beretika,” kata syarikat itu lagi.

Semalam, SPRM memfailkan permohonan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Amla) untuk mendapatkan semula wang berkaitan 1MDB berjumlah RM270 juta daripada 41 individu dan entiti.

Ia merupakan saman pelucutan hak terbesar dalam sejarah negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata wang tersebut diagihkan kepada penerima daripada akaun peribadi Najib di AmBank.

Najib kini berdepan 42 dakwaan pengubahan wang haram, penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah serta penyelewengan dana 1MDB.

Pendedahan tentang jutaan ringgit dimasukkan dalam akaun Najib dibuat pada 2015, namun pendakwaan hanya dimulakan pada 2018 selepas pertukaran kerajaan.