Ahli UMNO kena muhasabah kekalahan PRU14

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kekalahan yang mengakibatkan tampuk pemerintahan kerajaan diambil alih PH tidak harus dikesali sebaliknya setiap ahli perlu bekerja keras untuk terus setia sekali gus memenangi semula sokongan rakyat.

SABAK BERNAM – Semua ahli UMNO di setiap bahagian di negara ini diminta bermuhasabah diri atas kekalahan yang berlaku pada PRU14 lalu.

Sinar Harian melaporkan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kekalahan yang mengakibatkan tampuk pemerintahan kerajaan diambil alih PH tidak harus dikesali sebaliknya setiap ahli perlu bekerja keras untuk terus setia sekali gus memenangi semula sokongan rakyat.

“Kita tak payah menangis meratapi kekalahan, sebaliknya perlu berdoa kerana setiap yang berlaku itu atas kehendak ALLAH,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sabak Bernam di Dewan UMNO Bahagian Sabak Bernam di sini hari ini.

Mahdzir berkata, ahli UMNO juga diingatkan supaya membuang sikap memendam rasa agar tidak memberi kesan kepada parti.

“Kita kena cari jalan bagaimana hendak menang dan bukannya perkara remeh yang mengakibatkan kesan kepada parti,” katanya.

Bagi menangani perkara itu, ujarnya, ahli UMNO perlu berubah dan bersolidariti bagi membentuk pemuafakatan berterusan.

“Ahli UMNO kena bersatu-padu, tak boleh wayang dan main silap mata…jalin pemuafakatan dan kekalkan solidariti,” katanya.

Beliau memberitahu, kepimpinan parti itu juga perlu lebih terbuka sekiranya terdapat teguran daripada ahli dan peringkat bahagian bagi memantapkan UMNO.

Justeru tegas beliau, setiap ahli parti itu perlu memandang ke hadapan bagi meraih kemenangan pada PRU15.

“Kita kena kembali dan perkuatkan benteng UMNO sekali gus mendapat kembali sokongan rakyat,” katanya.